
LONDON, 18 Mac – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memuji jaringan menarik daripada Eberechi Eze yang membantu pasukannya menyingkirkan kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen 2-0 di laman sendiri awal pagi tadi.
- Eberechi Eze menjaringkan gol cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-37, meletakkan Arsenal di hadapan.
- Arsenal mara ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menang dengan agregat 3-1 ke atas Bayer Leverkusen.
- Mikel Arteta memuji jaringan Eze sebagai 'detik ajaib' dan berpendapat pasukannya layak ke suku akhir.
- Jurulatih Leverkusen, Kasper Hjulmand, kata kekurangan pengalaman dan kualiti memisahkan kedua-dua pasukan.
Kemenangan pada aksi timbal balik itu menyaksikan The Gunners melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan agregat 3-1.
“Kami memulakan perlawanan dengan sangat baik dan memberi ancaman dari setiap sudut. Kami memerlukan ‘detik ajaib’ daripada Ebs (Eberechi Eze) untuk menjaringkan gol yang sangat cantik bagi meletakkan kami di hadapan,” kata Arteta.
“Secara keseluruhan, saya fikir kami sememangnya layak untuk berada di suku akhir,” ujarnya.
Sebaliknya, jurulatih Bayer Leverkusen, Kasper Hjulmand berpendapat perbezaan kualiti dan pengalaman menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.
“Sangat sukar untuk mencipta peluang besar menentang pertahanan berkualiti tinggi seperti mereka. Anda perlu sangat tajam dan kami kekurangan kualiti di bahagian itu.
“Kualiti tersebut hanya datang dengan pengalaman dan lebih banyak perlawanan di peringkat antarabangsa seperti ini. Arsenal berhak menang,” jelas Hjulmand.
Dalam aksi di Stadium Emirates itu, penjaga gol Leverkusen, Janis Blaswich kental bertahan daripada asakan bertubi-tubi Arsenal pada 30 minit pertama.
Bagaimanapun, benteng pelawat akhirnya ditembus menerusi rembatan deras Eze dari luar kotak penalti pada minit ke-37.
Declan Rice kemudian mengukuhkan kedudukan pada minit ke-60 menerusi percubaan rendah yang tepat untuk gol kedua.
Arsenal, yang kini memimpin carta Liga Perdana Inggeris dijadual bertemu kelab Portugal, Sporting CP di suku akhir bulan depan.-REUTERS