
KUALA LUMPUR, 6 November – Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) akan mengeluarkan surat peringatan kepada barisan kejurulatihan Terengganu FC (TFC) susulan prestasi kurang memberangsangkan, pada permulaan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
- Pengurusan melakukan bedah siasat selepas perlawanan, termasuk pertemuan dengan Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan TFCSB.
- Tempoh rehat kalendar FIFA digunakan untuk memperkemaskan pasukan selepas kekalahan kepada JDT dan Sabah; kini berada di kedudukan ke-9.
- Pengurusan akui tanggungjawab bukan hanya pada pemain atau jurulatih dan akan mempertingkatkan struktur, perancangan dan sokongan.
- Pihak pengurusan menghargai sokongan dan kritikan penyokong serta menyeru agar terus memberi sokongan sewaktu tempoh mencabar ini.
TFCSB dalam kenyataan memaklumkan, surat peringatan tersebut, akan dihantar sebelum perlawanan Liga Super bertemu DPMM FC, pada 20 November ini.
“Pihak pengurusan memandang serius situasi ini dan telah melakukan bedah siasat selepas perlawanan Terengganu FC bertemu DPMM FC Piala FA dan kedua selepas perlawanan JDT bersama barisan Jawatankuasa Teknikal dan Pemilihan TFCSB.
“Tempoh masa rehat kalendar FIFA tempoh hari, telah digunakan sebaiknya memperkemaskan pasukan.Keputusan tidak menyebelahi Terengganu FC apabila tewas kepada JDT, Sabah FC dan berada di kedudukan ke-9,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun pihak pengurusan mengakui bahawa tanggungjawab terhadap hala tuju kelab tidak boleh diletakkan hanya kepada pemain atau barisan kejurulatihan semata-mata.
Pengurusan akan memastikan struktur, perancangan, sumber, sokongan dan persekitaran kerja yang diperlukan akan dipertingkatkan sewajarnya.
“Kami menghargai segala sokongan, teguran dan pandangan yang diberikan penyokong serta memahami bahawa kritikan kerana adanya rasa sayang dan rasa memiliki terhadap kelab ini.
“Kami menyeru semua pihak agar terus memberikan sokongan kepada pemain dan pasukan, khususnya ketika melalui tempoh yang mencabar ini,” tambah kenyataan itu.
Pihak pengurusan akan terus memantau perkembangan pasukan dan akan mengambil langkah yang diperlukan bagi memastikan Terengganu FC kembali berada pada tahap prestasi yang sepatutnya.
Kenyataan sama turut menegaskan bahawa Terengganu FC mempunyai tanggungjawab besar kepada penyokong, penaja, pemain, warga kerja dan seluruh peminat.
“Kami percaya bahawa dengan kerjasama semua pihak, Terengganu FC mampu bangkit dan kembali bersaing dan lebih berdaya saing,” menurut kenyataan itu.