
KUALA LUMPUR, 6 November – Seramai 48 pemain berbakat berjaya dikenal pasti untuk diserap ke program jangka panjang hasil pemantauan sepanjang Kejohanan Sepak Takraw Program Pembangunan Sepak Takraw Kebangsaan (NSTDP) 2026 Peringkat Kebangsaan di Akademi Sepaktakraw Malaysia.
- Penyertaan wanita meningkat daripada tujuh kepada 15 pasukan, mencerminkan perkembangan positif dan pertumbuhan sukan.
- Kelantan tampil cemerlang merangkul juara berganda, kemenangan B-17 wanita dan B-14 lelaki, persediaan baik untuk SUKMA 2028.
- NSTDP merancang pengembangan 2027 fokus pendidikan kejurulatihan di 38 pusat latihan serta peningkatan kualiti penganjuran bersama PSM dan MSN.
Pengurus Besar NSTDP, Suhaimi Sun Abdullah berkata, saingan edisi kedua yang bermula sejak 3 November itu menunjukkan peningkatan menyeluruh menerusi penyertaan 15 pasukan lelaki dan wanita membabitkan semua negeri termasuk Labuan dan Putrajaya.
“Alhamdulillah, panel pakar NSTDP telah memilih seramai 24 pemain lelaki dan 24 wanita yang berpotensi tinggi untuk dibawa ke kem bakat tahun hadapan.
“Di sana, bakat mereka akan terus digilap untuk program-program berprestij akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita pada kemuncak kejohanan berkenaan di sini hari ini.
Menyentuh saingan wanita, beliau menyifatkan peningkatan penyertaan daripada tujuh pasukan pada edisi sulung tahun lalu kepada 15 pasukan tahun ini sebagai perkembangan positif yang mencerminkan pertumbuhan dan potensi sukan berkenaan.
Prestasi cemerlang kontinjen wanita Kelantan turut dianggap sebagai tonik terbaik dan persediaan awal bagi negeri Cik Siti Wan Kembang dalam menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 selaku tuan rumah.
“Okey, saya berasa bangga kerana tahun lalu kita mempunyai tujuh pasukan wanita, manakala tahun ini jumlahnya meningkat kepada 15 pasukan.
“Rata-rata pasukan juga telah menjalani latihan dengan baik selama lapan bulan dan berjaya mempamerkan prestasi terbaik masing-masing.
“Bagi edisi kali ini, Kelantan antara pasukan yang menunjukkan prestasi cemerlang apabila berjaya menewaskan juara tahun lalu, Perak, selain Sabah untuk muncul juara,” katanya lagi.
Bagi perancangan tahun 2027, NSTDP bersedia memperluas program pembangunan dengan menumpukan kepada aspek pendidikan kejurulatihan melibatkan 38 pusat latihan di seluruh negara, selain menambah baik kualiti penganjuran dengan kerjasama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Majlis Sukan Negara (MSN).
Sementara itu, pada aksi saingan akhir kejohanan, kontinjen Kelantan melakar pencapaian membanggakan apabila muncul juara berganda.
Kelantan mendominasi kategori Bawah 17 Tahun (B-17) Wanita selepas menundukkan Sabah 2-0, sekali gus melengkapkan kempen cemerlang selepas turut menyingkirkan juara bertahan, Perak.
Prestasi bertenaga Kelantan diteruskan dalam kategori B-14 Lelaki apabila bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menewaskan Pahang 2-1 (16-17, 15-12, 15-11) dalam pertarungan sengit tiga set.
Kategori B-16 Lelaki pula menyaksikan pasukan Perak mengesahkan status selaku juara selepas menewaskan Kedah menerusi kemenangan straight set 2-0 (15-13, 15-12).