
KUALA LUMPUR, 6 November – Sebanyak 500 peserta dijangka menyertai Malaysia Martial Arts & Combat Sports Exhibition 2026 (MACX#1) yang bakal berlangsung di sebuah pusat beli-belah di Setiawangsa, di sini dari 13 hingga 15 November ini.
- Menyorot pendekatan inklusif, menyatukan pelbagai disiplin seni bela diri seperti karate, silat dan taekwondo di bawah satu bumbung.
- Mengumpulkan pengamal, jurulatih, atlet dan masyarakat untuk membentuk generasi muda lebih berdisiplin, berkeyakinan serta saling menghormati.
- Menampilkan tayangan filem anti buli 'BULLY: IS NOT A JOKE' dan pertunjukan MACX Warriors Arena, mempamerkan teknik, kreativiti serta semangat berpasukan.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur MACX#1 2026 Amirul Iman berkata kejohanan itu bukan sekadar platform mengetengahkan bakat dalam seni bela diri, malah bertujuan menyatukan pelbagai disiplin sukan tempur, iaitu karate, silat dan taekwondo di bawah satu bumbung.
“Kita mahu beri pandangan inklusif bahawa semua sukan seni bela diri atau sukan tempur ini boleh bekerjasama di bawah satu bumbung.
“Penganjuran MACX#1 diharap dapat menyatukan pengamal, jurulatih, atlet dan masyarakat, selain membentuk generasi muda yang lebih berdisiplin, berkeyakinan serta saling menghormati,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Amirul berkata antara pengisian utama acara tersebut adalah pengisian khas filem “BULLY: IS NOT A JOKE” arahan Captain Denil terbitan Dream Films Sdn. Bhd., yang membawa mesej bahawa buli bukan perkara remeh dan seni bela diri perlu digunakan dengan disiplin serta tanggungjawab pada 14 November.
Katanya, hari kemuncak acara pada 15 November pula akan menampilkan pertandingan MACX Warriors Arena, iaitu demonstrasi pelbagai seni bela diri dengan peserta mempersembahkan keunikan teknik, kemahiran, kreativiti dan semangat berpasukan masing-masing.- BERNAMA