Stadium ikonik Banorte berwajah baharu akan dirasmikan esok

Foto REUTERS

MEXICO CITY, 28 Mac – Selepas hampir dua tahun menjalani proses transformasi intensif, stadium Banorte (dahulunya stadium Azteca) bakal dibuka semula secara rasmi menerusi perlawanan persahabatan antarabangsa berprofil tinggi antara Mexico dan Portugal, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek naik taraf bernilai ratusan juta dolar bagi memenuhi standard tertinggi FIFA.
  • Ujian akhir sedang dijalankan ke atas sistem pencahayaan LED dan sistem audio stadium.
  • Pemasangan kerusi zon penyokong dan kemudahan zon media telah siap sepenuhnya.
  • Padang hibrid dan sistem saliran udara vakum menjamin kualiti permainan walaupun dalam cuaca buruk.

Stadium ikonik yang bakal menjadi venue pembukaan Piala Dunia FIFA 2026 itu kini tampil dengan wajah serba moden, hasil projek naik taraf bernilai ratusan juta dolar bagi memenuhi standard tertinggi badan induk bola sepak dunia tersebut.

Persiapan akhir masih rancak dijalankan dengan tumpuan kepada pengujian sistem pencahayaan LED serta sistem audio buat kali terakhir.

Pihak pengurusan stadium turut mengesahkan bahawa kerja-kerja pemasangan kerusi di zon penyokong dan kemudahan zon media telah siap sepenuhnya.

Antara pembaharuan utama yang menjadi tumpuan ialah penggunaan teknologi padang hibrid serta sistem saliran udara vakum yang menjamin kualiti permainan walaupun dalam keadaan cuaca buruk.

Selain itu, stadium ini kini dilengkapi dengan lebih 1,200 titik capaian Wi-Fi 6 bagi meningkatkan pengalaman digital para peminat.

Jurucakap jawatankuasa penganjur tempatan berkata, perlawanan menentang Portugal esok bukan sekadar aksi persahabatan, sebaliknya berfungsi sebagai ‘ujian tekanan’ utama bagi menilai keberkesanan aliran pergerakan penonton dan sistem keselamatan stadium yang kini mempunyai kapasiti melebihi 83,000 tempat duduk.

Selain kemudahan di dalam stadium, infrastruktur di sekitar kawasan kejiranan Huipulco juga telah dinaiktaraf termasuk pembinaan jambatan pejalan kaki baharu yang menghubungkan stesen pengangkutan awam terus ke pintu masuk stadium bagi memudahkan pergerakan penyokong.

Perlawanan esok dijangka menjadi kayu ukur penting buat skuad ‘El Tri’ bimbingan Javier Aguirre sebelum mereka memulakan kempen Piala Dunia dalam tempoh kurang 75 hari lagi.-REUTERS