
KUALA LUMPUR, 12 Januari – Speedy Tigers memberi tumpuan kepada perlawanan berintensiti tinggi dalam Siri Jelajah Perth, Australia dari 13 hingga 25 Januari 2026 sebagai persiapan Kelayakan Piala Dunia.
- Perlawanan berintensiti tinggi di Perth untuk persediaan Kelayakan Piala Dunia.
- Gabungan pemain senior dan remaja diuji untuk menilai keserasian pasukan.
- Tumpuan kepada disiplin, kefahaman taktikal dan konsistensi prestasi.
- Pemilihan akhir berdasarkan prestasi, keserasian dan keupayaan menghadapi tekanan.
Skuad negara akan mengharungi lima perlawanan, termasuk tiga aksi menentang Thundersticks serta dua pertemuan dengan Pasukan Kebangsaan Australia.
Ketua jurulatih, Sarjit Singh berkata aksi di Perth membantu pemain menyesuaikan diri dengan tempo, fizikal dan tekanan perlawanan tahap tinggi.
“Siri jelajah ini saya menggabungkan pemain senior dan pemain remaja di mana tiga daripada enam pemain yang dipanggil menjalani latihan, Andywalfian Jeffrynus, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari dan Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar akan bersama kami,” katanya menerusi kenyataan dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini.
Sarjit turut menekankan disiplin, kefahaman taktikal dan konsistensi prestasi sebagai fokus utama sepanjang siri jelajah.
Mengulas mengenai perlawanan Kelayakan Piala Dunia, Sarjit berkongsi bahawa setiap daripada 22 pemain yang dibawa mempunyai peluang untuk berada dalam senarai akhir 20 pemain ke kejohanan tersebut.
Beliau menegaskan, pemilihan pemain akan dibuat berdasarkan prestasi, keserasian pasukan dan keupayaan menghadapi tekanan perlawanan.
Malaysia diundi dalam Pool B bersama China, Pakistan dan Austria pada saingan yang akan berlangsung di Ismailia, Mesir dari 1 hingga 7 Mac 2026.