Sharon Wee cipta sejarah terajui MSA

Sharon Wee/ Foto FB Squash Racquets Association of Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Jan — Bekas pemain elit kebangsaan, Sharon Wee, mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Presiden Persatuan Skuasy Melaka (MSA), sekali gus menjadi wanita pertama memegang jawatan itu sejak penubuhan persatuan berkenaan pada 1974.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sharon Wee dilantik Presiden Persatuan Skuasy Melaka, wanita pertama pegang jawatan sejak 1974.
  • Pemilihan diumumkan oleh Persatuan Raket Skuasy Malaysia melalui hantaran Facebook rasmi.
  • Beliau bawa pengalaman luas sebagai bekas pemain elit, jurulatih, penyiar dan pengurus korporat.
  • Harapan Sharon: inspirasi bekas atlet kembali menyumbang dan galakkan lebih ramai wanita memegang jawatan penting.

Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memaklumkan perkara itu menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi persatuan.

Sharon berkata pelantikannya membuka ruang untuk beliau menyumbang secara lebih menyeluruh kepada pembangunan sukan skuasy dengan memanfaatkan pengalaman luasnya sebagai pemain peringkat negeri, bekas pemain elit kebangsaan serta pernah menduduki ranking ke-18 dunia.

Selain pengalaman sebagai atlet, beliau turut memiliki latar belakang dalam bidang kejurulatihan, penyiaran dan korporat, di samping penglibatan aktif dalam pentadbiran sukan.

“Saya berharap pelantikan ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai bekas atlet untuk kembali menyumbang dalam kepimpinan persatuan sukan, selain menggalakkan lebih ramai wanita tampil berani memegang jawatan penting,” katanya.

Sharon menggantikan Han Yong Chye, yang memegang jawatan Presiden MSA sejak Disember 2024.