
SEPANG, 3 Mei – Kejohanan Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark menunjukkan perkembangan positif buat pasukan negara meskipun gagal ke separuh akhir selepas tewas 0-3 kepada China.
- Ketua jurulatih Rosman Razak gembira dengan perkembangan positif ditunjukkan pemain muda negara.
- Dua gandingan muda memperagakan semangat juang tinggi, memberi harapan baik untuk masa depan skuad.
- Carmen Ting dan Ong Xin Yee menunjukkan peningkatan selepas tempoh sukar; terus perlukan pendedahan intensiti tinggi.
- Semua pemain diberi peluang sama rata; persaingan sihat diperlukan untuk menembusi tahap tertinggi dunia.
Ketua jurulatih beregu wanita kebangsaan, Rosman Razak berkata, prestasi positif itu ditunjukkan barisan pemain muda negara.
Menurutnya, dua gandingan muda negara memperagakan semangat juang tinggi sepanjang kejohanan, sekali gus memberi petanda baik untuk masa depan skuad.
“Saya lihat ada perkembangan yang baik ditunjukkan pemain, namun tahap kita masih jauh.
“Walaupun begitu, mereka berjuang habis-habisan dan mempamerkan semangat yang sangat tinggi, khususnya dua pasangan muda negara dan itu menggembirakan saya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Horsens.

Mengulas prestasi Carmen Ting dan Ong Xin Yee, Rosman menyifatkan peningkatan dipamerkan sebagai sesuatu yang positif selepas berdepan tempoh sukar sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kedua-dua pemain itu perlu terus didedahkan kepada kejohanan berintensiti tinggi bagi merapatkan jurang dengan pasangan terbaik dunia.
Dalam pada itu, Rosman turut menolak tanggapan bahawa hanya satu pasangan akan muncul sebagai pelapis kepada gandingan utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah.
Sebaliknya, beliau menjelaskan semua pemain mempunyai peluang sama rata dan perlu bersaing secara sihat untuk menembusi tahap tertinggi dunia.