PKBM rancang program pembangunan trek serantau menjelang Sukan SEA 2027

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill

KUALA LUMPUR, 7 Februari – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) merancang melaksanakan program pembangunan berbasikal trek melibatkan beberapa negara Asia Tenggara bagi memenuhi syarat minimum penyertaan, sekali gus membolehkan lebih banyak acara trek dipertandingkan pada Sukan SEA Malaysia 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • PKBM merancang program pembangunan trek serantau melalui ACC dan kerjasama MSN untuk tingkatkan penyertaan negara Asia Tenggara.
  • Inisiatif menjemput negara seperti Filipina, Laos dan Vietnam untuk belajar dan sertai acara trek Sukan SEA.
  • Tujuan utama ialah memenuhi syarat minimum empat negara supaya lebih banyak acara trek boleh dipertandingkan di Sukan SEA 2027.

Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill, berkata inisiatif itu akan digerakkan menerusi peranannya sebagai Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau berkata, program berkenaan bertujuan membantu negara-negara Asia Tenggara meningkatkan pembangunan berbasikal trek agar mampu menyertai Sukan SEA.

“Sebagai Presiden ACC, terdapat perancangan untuk melaksanakan program pembangunan dengan kerjasama MSN dengan menjemput dua atau tiga negara Asia Tenggara datang dan belajar supaya mereka boleh mengambil bahagian dalam Sukan SEA.

“Antara negara yang menjadi tumpuan ialah Filipina, Laos dan Vietnam,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam PKBM yang meraikan kejayaan atlet berbasikal Sukan SEA dan Para SEA, malam tadi.

Datuk Amarjit berkata, inisiatif itu juga penting bagi menangani cabaran utama penganjuran acara di Sukan SEA iaitu keperluan minimum penyertaan empat negara bagi membolehkan sesuatu acara dipertandingkan.

“Sebagai contoh di Thailand, hanya lima atau enam acara trek dipertandingkan sedangkan terdapat 13 acara. Pada Sukan SEA 2017, Malaysia berjaya mempertandingkan spektrum penuh acara trek,” katanya.

Pada Sukan SEA Malaysia 2017, skuad negara yang diperkuat pelumba berkelas dunia diketuai Mohd Azizulhasni Awang meraih 11 daripada 13 pingat emas yang dipertandingkan dalam acara berbasikal trek.