Piala Asia 2026: Fatin Nurfateha terlepas emas

FOTO Persatuan Memanah Malaysia

KUALA LUMPUR, 27 MacHasrat pemanah compound wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh untuk menghadiahkan pingat emas sulung pada Kejohanan Memanah Piala Asia 2026 Peringkat 1 tidak kesampaian selepas tewas tipis pada aksi akhir di Bangkok, Thailand, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fatin tewas tipis 144-145 kepada atlet Neutral Individu Arina Cherkezova.
  • Fatin dan Mohd Juwaidi tewas 156-158 kepada Chikitha Taniparthi dan Rajat Chauhan dalam acara campuran.
  • Kem memanah negara meraih dua pingat gangsa bagi acara compound wanita berpasukan dan recurve lelaki berpasukan.

Pada pertandingan yang berlangsung di Lapang Sasar Memanah, Sports Authority of Thailand, Fatin terpaksa akur apabila tewas dengan perbezaan satu mata, 144-145 kepada atlet Neutral Individu (AIN), Arina Cherkezova.

Terdahulu, Fatin yang bergandingan bersama Mohd Juwaidi Marzuki turut gagal meraih emas dalam acara compound berpasukan campuran selepas tewas 156-158 kepada pasangan India, Chikitha Taniparthi dan Rajat Chauhan.

Kem memanah negara bagaimanapun berjaya meraih dua pingat gangsa masing-masing menerusi acara compound wanita berpasukan dan recurve lelaki berpasukan.

Kejohanan Memanah Piala Asia 2026 yang berlangsung sejak 21 Mac lalu melabuhkan tirainya hari ini.