
LANGKAWI, 2 April – Persatuan Bolasepak Daerah Langkawi (PBDL) menyasarkan untuk menembusi saingan Liga Super dalam tempoh lima tahun sebagai usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak Kedah.
- PBDL merangka pelan pembangunan menyeluruh bagi merealisasikan misi kebangkitan bola sepak negeri.
- Pengurusan padu dan perancangan rapi ditegaskan Penaung Datuk Zuraidi Rahim untuk menjayakan misi berkenaan.
- Usaha mendapat sokongan bekas pemain legenda Faridzuan Che Hamid dalam memperkasa pasukan dan pembangunan pemain muda.
- Ketiadaan wakil Kedah di Liga Super dan isu kewangan KDA FC menjadi pemangkin kepada usaha kebangkitan bola sepak negeri.
Pasukan berpangkalan di Pulau Langkawi itu kini giat merangka pelan pembangunan menyeluruh bagi memastikan sasaran tersebut dapat direalisasikan.
Penaung PBDL, Datuk Zuraidi Rahim berkata, pihaknya serius dalam menjayakan misi berkenaan dengan perancangan rapi yang sedang dilaksanakan oleh pengurusan pasukan.
Menurutnya, usaha itu turut mendapat sokongan bekas pemain legenda Kedah era 1990-an, Faridzuan Che Hamid.
“Komitmen penuh akan diberikan bagi memperkukuh struktur organisasi selain melahirkan lebih ramai bakat muda berpotensi di peringkat daerah,” katanya.
Beliau menambah, bola sepak bukan sekadar sukan, malah berperanan sebagai medium penyatuan masyarakat, pembinaan disiplin serta pemupukan semangat berpasukan.
Datuk Zuraidi berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agong PBDL ke-24 di sini.
Dalam perkembangan sama, ketiadaan wakil Kedah dalam Liga Super sejak musim lalu dan musim ini dilihat antara faktor yang mendorong usaha kebangkitan bola sepak negeri itu.
Sebelum ini, Kedah Darul Aman (KDA FC) gagal memenuhi syarat ditetapkan Malaysian Football League (MFL), khususnya membabitkan isu kewangan.
Ketika ini, KDA FC bersama Kedah FA beraksi dalam Liga A1 Semi Pro 2025–2026 dengan Kedah FA menunjukkan prestasi lebih baik apabila menghuni tangga ketiga liga, manakala KDA FC berada di kedudukan tercorot.