NSFC perkukuh momentum kemenangan liga

Pemain Negeri Sembilan FC, Takumi Sasaki (tengah) mengawal bola dari dirampas pemain PDRM FC pada saingan Liga Super Malaysia 2025/2026 pada Jumaat/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Ketua jurulatih interim Negeri Sembilan FC, K. Rajan memuji komitmen pemainnya yang berjaya menewaskan PDRM FC 6-1 pada saingan Liga Super Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih mengingatkan pemain supaya terus memburu jaringan kerana perbezaan gol boleh menentukan kedudukan liga.
  • Ketua jurulatih PDRM mengakui banyak kesilapan individu menyebabkan kekalahan besar dan gol awal menjejaskan moral pasukan.
  • Negeri Sembilan menamatkan kemarau kemenangan selepas enam perlawanan tanpa kemenangan.

Kemenangan tersebut memastikan skuad Hobin Jang Hobin tidak tewas dalam tiga perlawanan terakhir.

“Kita perlu beri kredit kepada pemain kerana mereka memberikan komitmen penuh di atas padang. Walaupun permainan kita sederhana, keputusan yang diperoleh sangat baik terutama kerana ini kemenangan pertama di tempat lawan musim ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang PDRM FC.

Beliau turut mengingatkan pemain supaya terus memburu jaringan kerana perbezaan gol boleh menjadi faktor penting dalam kedudukan liga pada penghujung musim.

Sementara itu, ketua jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil mengakui kesilapan individu menjadi punca utama kekalahan besar pasukannya dalam perlawanan tersebut.

Menurutnya, prestasi keseluruhan pasukan jauh berbeza berbanding empat perlawanan sebelum ini apabila beberapa kesilapan mudah membuka ruang kepada Negeri Sembilan untuk menghukum mereka.

“Kita dihukum dengan kesilapan sendiri. Terlalu banyak kesilapan individu dan keputusan yang dibuat pemain menyebabkan pasukan lawan mengambil kesempatan,” katanya.

Tambah Eddy, gol awal yang terhasil daripada kesilapan ketika cuba membina serangan dari bawah menjadi titik perubahan yang menjejaskan moral pasukan.

Beliau berkata pasukannya kini perlu segera bangkit menjelang pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi seterusnya.

Terdahulu, Negeri Sembilan menamatkan kemarau kemenangan apabila membelasah PDRM 6-1 sekali gus mencatat kemenangan pertama selepas melalui enam perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan.

Kali terakhir skuad itu meraih kemenangan adalah ketika menewaskan Imigresen FC 1-0 dalam aksi Piala Malaysia pada 25 Januari lalu.