MSN nafi abaikan perancangan Azizulhasni ke LA2028

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Ogos Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak memberi perhatian terhadap perancangan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, termasuk persiapan beliau ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan dengan Persekutuan Berbasikal Malaysia pada 7 Julai bincang Olympic Pathway dan keperluan Azizulhasni untuk mengumpul mata kelayakan.
  • Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, sentiasa mengambil tahu serta menyokong perkembangan dan bantuan diperlukan.
  • Dalam pertemuan 13 Ogos, Azizulhasni maklum mula merancang Sukan Olimpik 2028; perancangan belum dimuktamadkan dan MSN setuju permohonan tambahan.
  • Pengumuman program latihan akan dibuat bersama selepas Kejohanan Berbasikal Dunia Shanghai; MSN menghormati permintaan supaya fokus tidak terganggu sebelum Sukan Asia 2026.

MSN dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya sentiasa teguh menyokong pelumba yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu, termasuk segala perancangan yang dibuatnya bagi menghadapi temasya Olimpik berkenaan.

Menurut MSN, pendirian itu telah disampaikan kepada Mohd Azizulhasni sejak persoalan mengenai perancangan masa depannya timbul sebelum dan selepas Sukan Komanwel Glasgow menerusi beberapa siri pertemuan bersama Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin serta pegawai kanan badan berkenaan

“Pihak MSN telah mengadakan perbincangan bersama Persekutuan Berbasikal Malaysia pada 7 Julai bagi membincangkan Olympic Pathway yang melibatkan pelumba kebangsaan, termasuk keperluan Mohd Azizulhasni selaku peneraju utama untuk mengumpulkan mata kelayakan yang dinyatakan oleh beliau,” menurut kenyataan itu.

Tambah MSN, Menteri Belia dan Sukan yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan MSN, Dr Mohammed Taufiq Johari, turut mendapatkan perkembangan mengenai persiapan dan perancangan Mohd Azizulhasni ketika sambutan kepulangan Kontinjen Malaysia daripada Sukan Komanwel.

“Beliau sentiasa mengambil tahu perkembangan membabitkan Mohd Azizulhasni dan menyokong kuat segala keputusan serta bantuan yang diperlukan untuk beliau,” katanya.

MSN berkata dalam pertemuan pada 13 Ogos lalu bersama Ketua Program Road to Gold, Akmal Ahmad Zainuddin; Ketua Program Podium, Halif Asro Ramzi Sulaiman; dan Ketua Cawangan Sains Sukan Institut Sukan Negara, Mohd Izham Mohamad, Mohd Azizulhasni memaklumkan bahawa beliau telah mula merancang persiapan ke Sukan Olimpik 2028.

Bagaimanapun, menurut MSN, perancangan itu ketika itu masih belum dimuktamadkan, selain Mohd Azizulhasni membangkitkan beberapa elemen penting yang diperlukan bagi merealisasikan perancangannya.

“Dalam pertemuan sama, MSN telah bersetuju terhadap semua permohonan berkenaan termasuk beberapa permintaan tambahan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MSN berkata pihaknya terkejut dengan kenyataan jurulatih John Beasley yang mendakwa tiada perbincangan mengenai perancangan masa depan Mohd Azizulhasni dilakukan.

Menurut MSN, Mohd Azizulhasni juga telah bersetuju supaya pengumuman berhubung program latihan ke Sukan Olimpik 2028 dibuat secara bersama oleh beliau dan MSN selepas Kejohanan Berbasikal Dunia di Shanghai, China, yang dijadual berlangsung dari 14 hingga 18 Oktober ini.

“MSN menghormati permintaan tersebut bagi memastikan fokus dan persiapan Mohd Azizulhasni tidak terjejas sebelum Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya pada September ini,” menurut kenyataan itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.