
SEATTLE, 27 Jun – Mesir mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 buat kali pertama dalam sejarah selepas seri 1-1 dengan Iran dalam aksi terakhir Kumpulan G di Stadium Seattle, Amerika Syarikat.
- Belgium membelasah New Zealand 5-1, merampas kedudukan teratas kumpulan melalui kelebihan perbezaan jaringan.
- Mesir membuka jaringan minit kelima melalui Mahmoud Saber selepas penjaga gol Iran melakukan tepisan tidak kemas.
- Iran hampir menang: penalti Taremi diselamatkan, kemudian Ramin Rezaeian menyamakan pada minit ke-14; gol masa kecederaan dibatalkan ofsaid.
Keputusan itu menyaksikan skuad ‘The Pharaohs’ menamatkan saingan selaku naib juara kumpulan selepas Belgium membelasah New Zealand 5-1 untuk merampas kedudukan teratas menerusi kelebihan perbezaan jaringan.
Sebelum perlawanan bermula, Mesir hanya memerlukan keputusan seri untuk mara, manakala Iran wajib menang bagi menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati.
Mesir membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Mahmoud Saber yang pantas menyambar bola muntah hasil tepisan tidak kemas penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand, sekali gus menghadiahkan gol antarabangsa pertamanya.
Iran berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-12 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Mohamed Abdelmonem mengasari Mehdi Taremi, namun percubaan Taremi berjaya diselamatkan penjaga gol Mesir, Mostafa Shobeir.
Bagaimanapun, Iran hanya memerlukan dua minit untuk bangkit apabila Ramin Rezaeian meledak rembatan deras dari sudut sukar pada minit ke-14 bagi mengikat kedudukan 1-1.
Kedua-dua pasukan terus saling mengasak selepas itu, namun gagal menambah jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Mesir memasukkan penyerang Manchester City, Omar Marmoush, bagi menggantikan Emam Ashour dalam usaha memburu gol kemenangan.
Iran hampir mencipta detik dramatik pada masa kecederaan menerusi Shoja Khalilzadeh, namun jaringannya dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.
Keputusan 1-1 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan Mesir mara ke pusingan kalah mati sebagai naib juara Kumpulan G dan bakal berdepan Australia pada 4 Julai.
Sementara itu, Iran menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan dan masih menunggu nasib sama ada layak ke pusingan kalah mati sebagai antara pasukan tempat ketiga terbaik.