
SERDANG, 27 Jun – Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) bakal melaksanakan penstrukturan semula program pembangunan sukan berkenaan secara menyeluruh bermula daripada peringkat akar umbi bawah lapan tahun (U8) sehinggalah ke skuad elit kebangsaan.
- BFM memeterai MoU dengan pengeluar Jepun ISONO, mewujudkan kerjasama strategik bagi pembangunan besbol negara.
- ISONO dilantik Penaja Utama ISONO U15 Rubber Baseball League 2026 dan menyalurkan dana tunai serta sokongan teknikal.
- Kerjasama sediakan peralatan, kepakaran Jepun, serta menekankan kecemerlangan, sahsiah dan pendidikan pemain muda untuk perkasakan ekosistem sukan.
Langkah berkenaan menjadi fokus utama susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara BFM dan syarikat pengeluar peralatan sukan terkemuka Jepun, ISONO Undouguten Co., Ltd. (ISONO) yang berlangsung di Padang Besbol Universiti Putra Malaysia, disini.
Menerusi kolaborasi strategik itu, ISONO secara rasmi dinamakan sebagai Penaja Utama bagi saingan ISONO U15 Rubber Baseball League 2026 dengan menyalurkan dana tunai bernilai ¥1,000,000 (sekitar RM25,000).
“Kita akan mengadakan penstrukturan semula pembangunan daripada U8, U10, U12, U14, U15 sampailah ke pasukan elite kita. Alhamdulillah nilai RM25 ribu ini ditaja oleh ISONO.
“Tapi wang tunai memang penting, apa yang lebih penting adalah jalinan kerjasama dengan ISONO melangkaui wang tunai iaitu kita punya connection di Jepun, bantuan teknikal, kepakaran daripada Jepun.” Katanya.
Bagaimanapun, utama yang disasarkan menerusi perjanjian tersebut adalah akses langsung kepada rangkaian organisasi besbol di Jepun, sumbangan peralatan, serta pemindahan bantuan kepakaran teknikal berimpak tinggi demi melonjakkan mutu sukan itu di Malaysia.
Selain memacu aspek kecemerlangan fizikal dan taktikal, program usahasama tersebut turut meletakkan agenda pembentukan sahsiah diri serta elemen pendidikan dalam kalangan pemain muda sebagai teras pelaksanaan liga akar umbi tersebut.
Langkah berkenaan diyakini menjadi pemangkin utama dalam usaha mengukuhkan ekosistem sukan besbol tanah air, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara hab pembangunan sukan berkenaan yang paling aktif di rantau Asia.