
LE MANS, 10 Mei – Pelumba Aprilia, Jorge Martin, mempamerkan aksi luar biasa apabila bangkit daripada petak kelapan untuk menjuarai perlumbaan pecut Grand Prix Perancis, di litar Le Mans pada Sabtu.
- Martin kini merekodkan 18 kemenangan perlumbaan pecut, mencipta rekod baharu buat juara dunia 2024 dari Sepanyol.
- Kemenangan Martin merapatkan jurang kejuaraan; kini hanya dipisahkan enam mata dengan pendahulu Marco Bezzecchi.
- Marc Marquez mengalami kemalangan teruk pusingan terakhir, cedera kaki dan diragui penyertaannya dalam perlumbaan utama.
Kemenangan itu, sekali gus merapatkan jurang mata kejuaraan dengan rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi.
Dalam perlumbaan itu, pelumba Ducati, Francesco Bagnaia yang bermula di petak utama menamatkan saingan di tempat kedua, manakala Bezzecchi melengkapkan podium di kedudukan ketiga yang juga podium pecut pertamanya musim ini.

Martin kini merekodkan 18 kemenangan dalam perlumbaan pecut, sekali gus mencipta rekod baharu buat juara dunia 2024 dari Sepanyol itu.
Secara keseluruhan Martin kini hanya dipisahkan enam mata di belakang pendahulu, Bezzecchi, menjelang perlumbaan utama pada Ahad.
“Saya suka litar ini. Hari ini saya sedikit bergelut ketika sesi kelayakan, tetapi saya tahu kemampuan sebenar saya jauh lebih baik.
“Saya meletakkan sepenuh tekad ketika permulaan perlumbaan. Saya tidak menjangka berada di posisi pertama pada selekoh kedua, namun selepas itu saya hanya terus menekan seperti kebiasaan saya,” kata Martin.
Sementara itu, Bagnaia yang pada awalnya tercicir ke tempat ketiga berjaya kembali ke posisi kedua selepas Bezzecchi terbabas sedikit keluar daripada garisan perlumbaan.

“Rentak perlumbaan agak baik, jadi saya gembira. Kami masih kekurangan sedikit berbanding Aprilia, tetapi kami semakin meningkat,” kata Bagnaia selepas meraih tempat kedua perlumbaan pecut buat kali ketiga berturut-turut.
Drama turut tercetus pada penghujung perlumbaan apabila juara dunia Marc Marquez mengalami kemalangan yang dahsyat pada pusingan terakhir.
Pelumba berusia 33 tahun itu tercampak dari jenteranya sebelum motosikalnya melambung di udara dan terhempas berhampirannya.

Marquez dilihat mengelami kecederaan pada kaki dan dibawa menjalani pemeriksaan perubatan, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap penyertaannya dalam perlumbaan utama.
Pelumba KTM, Pedro Acosta menamatkan perlumbaan di tempat keempat manakala pelumba tuan rumah Yamaha, Fabio Quartararo melengkapkan kelompok lima terbaik. – Reuters