
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Penganjuran sulung Kejohanan Besbol Antarabangsa Bawah 10 Tahun (U-10) membuka lembaran baharu dalam pembangunan sukan itu di Malaysia apabila mendapat sambutan menggalakkan daripada pasukan tempatan dan antarabangsa.
- Kejohanan mencipta sejarah dan memperkukuh pembangunan sukan besbol di peringkat akar umbi.
- Edisi pertama melibatkan 10 pasukan, termasuk lapan tempatan dan jemputan antarabangsa Japan International School serta Garuda Indonesia.
- Perancangan strategik dilaksanakan untuk memperkasakan ekosistem besbol termasuk penyediaan kemudahan bertaraf antarabangsa.
- Jaringan pertandingan antarabangsa diperluas bagi membuka laluan profesional dan melahirkan bakat muda kompetitif serantau serta antarabangsa.
Presiden Persekutuan Besbol Malaysia (BFM), Sazali Husain berkata, kejohanan berkenaan mencipta sejarah tersendiri sepanjang lebih 25 tahun perkembangan sukan besbol negara, khususnya dalam usaha memperkukuh pembangunan di peringkat akar umbi.
Menurutnya, edisi pertama kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan penyertaan 10 pasukan membabitkan lapan pasukan tempatan dari lima negeri, selain penyertaan pasukan antarabangsa Japan International School dan pasukan jemputan Garuda Indonesia.
“Sambutan positif daripada pelbagai negeri membuktikan sukan besbol semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat serta berpotensi berkembang lebih jauh pada masa hadapan.
“Ini menunjukkan perkembangan positif sukan besbol di Malaysia, terutama apabila semakin ramai pemain muda mula menunjukkan minat terhadap sukan ini,” katanya ketika ditemui wartawan RTM selepas merasmikan Kejohanan Besbol Antarabangsa Bawah 10 Tahun di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.
Dalam pada itu, Sazali berkata beberapa perancangan strategik sedang dilaksanakan bagi memperkasakan ekosistem besbol negara, termasuk penyediaan kemudahan bertaraf antarabangsa.
Katanya, Padang Antarabangsa Baharu Malaysia bakal dilengkapi kemudahan padang besbol berprestasi tinggi yang dijangka mula digunakan seawal bulan depan sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan berkenaan.
Beliau turut memaklumkan pihaknya berhasrat memperluaskan jaringan pertandingan antarabangsa bagi membuka peluang kepada pemain muda tempatan melangkah ke tahap profesional, seperti yang dilakukan negara jiran.
Dengan program pembangunan yang lebih tersusun serta kemudahan yang semakin lengkap, sukan besbol Malaysia diyakini mampu berkembang pesat dan melahirkan lebih ramai bakat muda berdaya saing di peringkat serantau serta antarabangsa.