
KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mahu mengulangi kejayaan di India apabila beraksi pada Kejohanan Dunia 2026 di New Delhi dari 17 hingga 23 Ogos ini.
- Jun Hao kini di ranking ke-26 dan berkemungkinan berdepan pilihan utama China Li Shi Feng pada pusingan kedua.
- Kemenangan terdahulu ke atas Li Shi Feng di India menjadi pembakar semangatnya.
- Persiapan intensif tiga minggu berjalan lancar dengan tahap fizikal dan mental berada dalam keadaan baik.
- Kunci menewaskan Li Shi Feng ialah mengekalkan konsistensi bagi mengatasi corak permainan agresif dan serangan tajamnya.
Jun Hao yang kini berada di ranking ke-26 dunia dijangka berdepan cabaran sukar pada pusingan kedua apabila berkemungkinan menentang pilihan utama China, Li Shi Feng.
Jun Hao berkata rekod kemenangannya ke atas juara Olimpik Paris 2024 itu sebelum ini menjadi pembakar semangat untuk menghadapi pertemuan berkenaan.
“Jika melepasi pusingan pertama dan bertemu Li Shi Feng di pusingan kedua, saya akan berjuang habis-habisan. Saya pernah menewaskannya sebelum ini dan apa yang menarik, kemenangan itu dirakamkan ketika kami beraksi di India,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Jun Hao berkata persiapannya berjalan lancar selepas menjalani latihan intensif selama tiga minggu, dengan tahap fizikal dan mental berada pada keadaan baik.
Katanya, beliau perlu mengekalkan konsistensi sepanjang perlawanan bagi mengekang corak permainan agresif Li Shi Feng.
“Persiapan sudah memasuki minggu ketiga dan semuanya berjalan lancar. Shi Feng seorang pemain yang sangat konsisten dan mempunyai serangan yang tajam.
“Jadi, kunci untuk menewaskannya ialah saya perlu lebih konsisten sepanjang perlawanan,” katanya.
Jun Hao sebelum ini mengejutkan Li Shi Feng pada pusingan pertama Terbuka India tahun lalu apabila menang 18-21, 21-17, 21-17 dalam aksi tiga set di Kompleks Sukan Indira Gandhi.