SUKMA Selangor: Kontinjen golf Melaka sasar sumbang pingat

Barisan Kontinjen golf Melaka

MELAKA, 11 Ogos — Kontinjen golf Melaka yakin mampu menyumbang pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 berdasarkan prestasi semasa lapan atlet yang menjalani persiapan sejak November tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Atlet dipilih berdasarkan merit selepas program latihan komprehensif dan penyertaan lebih 10 kejohanan sebagai persiapan.
  • Ketahanan mental dan fizikal penting kerana aksi tiga hari berturut-turut dengan berjalan kaki 18 lubang; pemain digalakkan menikmati permainan dan tidak terlalu tertekan.
  • Acara SUKMA Selangor 2026 dijadual 18 hingga 20 Ogos di Glenmarie Golf & Country Club, Selangor.

Presiden Persatuan Golf Negeri Melaka (PGNM), Shahrin Muharam berkata, lapan atlet itu dipilih berdasarkan merit dan prestasi selepas menyertai program latihan komprehensif serta lebih 10 kejohanan sebagai persiapan menghadapi temasya.

Beliau berkata, ketahanan mental dan fizikal menjadi aspek penting kerana pemain perlu beraksi selama tiga hari berturut-turut dengan berjalan kaki sepanjang 18 lubang.

“Ketahanan mental sangat diperlukan. Pertandingan ini tiga hari berturut-turut dan berjalan kaki untuk 18 lubang. Jadi ketahanan mental dan fizikal sangat penting.

“Saya harapkan pemain-pemain ini menikmati permainan dan tidak terlalu tertekan. Kita perlu ada minat mendalam terhadap sukan yang diceburi supaya dapat lebih fokus dalam permainan,” katanya.

Shahrin berkata, golf merupakan sukan yang dinamik kerana setiap padang mempunyai karakter dan cabaran berbeza, sekali gus memerlukan fokus serta ketajaman pemikiran tinggi.

Beliau turut menggesa program pembangunan bakat dilaksanakan secara berterusan dan lebih intensif bagi mencungkil pemain muda berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Acara golf SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung 18 hingga 20 Ogos di Glenmarie Golf & Country Club, Selangor, dengan lapan atlet Melaka menjadi sandaran untuk menyumbang pingat kepada kontinjen negeri itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.