Harimau Malaya perlu dominasi ASEAN sebelum cabar gergasi Asia

Skuad Harimau Malaya kini perlu mengekalkan prestasi kompetitif secara konsisten./foto BERNAMA

SHAH ALAM, 6 April – Skuad bola sepak kebangsaan disarankan agar membina semula kekuatan untuk muncul sebagai kuasa utama di peringkat Asia Tenggara sebelum memasang impian melangkah lebih jauh ke pentas Asia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan dominasi di Asia Tenggara dahulu sebelum mencabar pasukan gergasi di peringkat benua.
  • Utamakan konsistensi prestasi dan menewaskan lawan yang sepatutnya ditumpaskan dalam kejohanan serantau.
  • Tingkatkan kualiti permainan menentang pasukan berperingkat lebih tinggi untuk menilai kemampuan sebenar.
  • Pendekatan berperingkat dianggap strategi realistik bagi pembinaan semula kekuatan mampan jangka panjang.

Menurut Dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, Profesor Dr. Raja Mohammed Firhad Raja Azidin, fokus utama skuad Harimau Malaya ketika ini bukan sekadar mengejar kemenangan, malah merangkumi keupayaan mengekalkan prestasi kompetitif secara konsisten.

Menurut beliau, kestabilan prestasi dalam kejohanan serantau merupakan penanda aras penting yang tidak boleh diabaikan.

“Kita perlu memenangi perlawanan yang sepatutnya dimenangi dan mempamerkan prestasi stabil dalam kejuaraan serantau, khususnya di Asia Tenggara.

“Pada masa sama, kita juga perlu meningkatkan kualiti permainan apabila menentang pasukan yang berada di kedudukan ranking lebih tinggi,” katanya ketika ditemui RTM, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berpendapat penguasaan di rantau Asia Tenggara adalah langkah asas yang kritikal sebelum skuad negara mampu mencabar pasukan gergasi di peringkat benua.

“Kita tidak boleh melompat tahap tanpa menguasai persaingan di Asia Tenggara. Jadi, kita perlu bermula dengan menjadi pasukan yang digeruni di peringkat ini terlebih dahulu sebelum melangkah lebih jauh,” jelas beliau.

Tambah Dr. Raja Mohammed Firhad, peningkatan prestasi menentang pasukan beranking tinggi juga perlu diberikan perhatian serius bagi mengukur tahap keupayaan sebenar pasukan.

Langkah berperingkat itu dilihat sebagai strategi paling realistik untuk membina semula kekuatan bola sepak negara secara mampan dan berdaya saing bagi tempoh jangka panjang.