
KUALA LUMPUR, 29 Mac – Harimau Malaya optimis dapat mencipta kejutan ke atas Vietnam meskipun berdepan misi sukar dalam aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, Selasa ini.
- Skuad buat persiapan rapi termasuk kem latihan di Bangkok.
- Setiap pemain diminta manfaatkan peluang menyarung jersi kebangsaan dengan aksi terbaik.
- Semangat dan maruah pasukan kekal tinggi walaupun berdepan situasi mencabar.
- AFC isytihar kekalahan 3-0, Malaysia hilang enam mata; perlawanan jadi peluang buktikan karakter.
Pemain tengah negara, Nooa Laine menegaskan skuad kendalian Peter Cklamovski itu telah melakukan persiapan rapi termasuk menjalani kem latihan di Bangkok, Thailand.
Menurutnya, setiap pemain perlu memanfaatkan peluang menyarung jersi kebangsaan dengan memberikan aksi terbaik walaupun perlawanan tersebut tidak lagi menentukan kelayakan ke pusingan akhir.
Tambah pemain Selangor FC itu, pertemuan menentang Vietnam tetap dianggap penting dan mencabar, lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang lawan.
“Setiap perlawanan saya mahu menang. Walaupun sukar, kami percaya dengan kemampuan pasukan dan akan berjuang habis-habisan demi negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan semangat pasukan kekal tinggi walaupun berdepan situasi mencabar.
“Kami masih ada maruah yang perlu dipertahankan. Ini peluang untuk membuktikan karakter sebenar pasukan walaupun keputusan kumpulan sudah ditentukan,” tambahnya.
Aksi tersebut pada asalnya dijangka menjadi penentu slot ke pusingan akhir di Arab Saudi, namun bertukar menjadi sekadar pelengkap jadual.
Ini susulan keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 17 Mac lalu yang mengisytiharkan Malaysia tewas 3-0 dalam dua perlawanan terdahulu selepas didapati menurunkan pemain tidak layak.
Keputusan itu menyebabkan Harimau Malaya hilang enam mata dan terlepas peluang ke Piala Asia 2027, sekali gus membuka laluan kepada Vietnam muncul juara kumpulan.