
KUALA LUMPUR, 8 Januari – Seni mempertahankan diri silat terus diperkasakan di peringkat akar umbi menerusi pembukaan Gelanggang Silat Taman Jaya di Bandar Tun Razak, sebagai usaha melahirkan bakat baharu dalam sukan warisan negara.
- Gelanggang Silat Taman Jaya dibuka di Bandar Tun Razak untuk mencungkil dan membangunkan bakat silat baharu.
- Program diterajui KRT Taman Jaya bersama Persatuan Gayang Lima dan DSSM, mensasarkan murid sekolah, belia dan penduduk setempat.
- Latihan asas dijalankan setiap malam Rabu, disertai cadangan kokurikulum dan pembangunan bakat yang lebih tersusun.
- Inisiatif bertujuan mengukuhkan perpaduan masyarakat, merapatkan jurang generasi dan memartabatkan seni budaya bangsa.
Majlis perasmian gelanggang berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Program yang diterajui Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Jaya dengan kerjasama Persatuan Gayang Lima Malaysia dan Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) mensasarkan penyertaan murid sekolah rendah dan menengah, belia serta penduduk setempat.
Datuk Azman berkata, penubuhan gelanggang tersebut bukan sekadar platform pendidikan tidak formal, malah berfungsi sebagai medan serius untuk mencungkil dan membangunkan bakat muda berpotensi ke tahap lebih tinggi dalam bidang seni mempertahankan diri.
“Kita mahu melahirkan belia yang bukan sahaja berdisiplin dan berwibawa, tetapi juga memiliki kemahiran teknikal tinggi dalam silat agar mampu mewarisi dan memartabatkan seni budaya bangsa dengan penuh kualiti,” katanya.
Beliau berkata selain latihan asas bela diri yang dijalankan secara berkala setiap malam Rabu, program berkenaan turut merangkumi cadangan aktiviti kokurikulum serta pembangunan bakat yang lebih tersusun.
Inisiatif itu dilihat sebagai langkah proaktif dalam merapatkan jurang generasi serta mengukuhkan perpaduan masyarakat menerusi aktiviti sihat yang membina jati diri.