
BARCELONA, 8 Februari – Barcelona mengukuhkan cengkaman di puncak La Liga selepas mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Mallorca dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Camp Nou, awal pagi tadi.
- Lewandowski buka jaringan untuk membantu Barcelona memimpin perlawanan sebelum rehat.
- Lamine Yamal meledak gol cantik dari luar kotak, gol keempat dalam empat perlawanan.
- Marcus Rashford masuk tambah tempo, membantu tekanan yang membawa gol pembukaan.
- Marc Bernal raih gol sulung bersama skuad utama selepas pulih dari kecederaan lutut serius.
Jaringan daripada Robert Lewandowski dan Lamine Yamal, sebelum gol penamat oleh Marc Bernal memastikan juara bertahan itu kini mendahului liga dengan kelebihan empat mata.
Barcelona mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Lewandowski, meskipun persembahan pasukan itu dilihat agak perlahan.
Ketua jurulatih, Hansi Flick mengakui tidak berpuas hati dengan aksi awal pasukannya.
“Saya tidak gembira kerana permainan dan hantaran terlalu perlahan. Separuh masa pertama bukan seperti cara Barcelona mahu bermain, tetapi separuh masa kedua jauh lebih baik,” katanya.
Mallorca hampir menyamakan kedudukan pada awal perlawanan menerusi percubaan Vedat Muriqi, namun penjaga gol Barcelona, Joan Garcia cemerlang menafikan peluang lawan.
Kemasukan Marcus Rashford menambah tempo permainan Barcelona, dengan tekanan berterusan akhirnya membawa kepada gol pembukaan apabila Dani Olmo melakukan lantunan yang disudahkan Lewandowski dari jarak dekat.
Yamal, 18 tahun, menebus kekecewaan terlepas peluang mudah pada separuh masa pertama dengan meledak gol cantik dari luar kotak penalti pada babak kedua, menjadikan ia gol keempatnya dalam empat perlawanan.
“Dia bijak menyimpan tenaga untuk separuh masa kedua. Lamine sangat luar biasa,” kata Flick.
Bernal melengkapkan kemenangan Barcelona menerusi gol sulungnya bersama pasukan utama selepas pulih daripada kecederaan lutut serius yang dialami pada Ogos 2024.
“Saat menjaringkan gol itu sangat emosional selepas melalui tempoh sukar sepanjang setahun lalu,” kata Bernal.
Dalam satu lagi perlawanan, Real Sociedad melonjak ke tangga kelapan liga selepas menewaskan Elche 3-1.
Sementara itu, La Liga menangguhkan perlawanan Rayo Vallecano menentang Real Oviedo susulan keadaan padang yang tidak memuaskan, manakala aksi Sevilla menentang Girona dijadualkan semula ke hari Ahad akibat cuaca buruk.-AFP