
KUALA LUMPUR, 20 Mac – Empat atlet lompat bergalah negara terpaksa melupakan sambutan Aidilfitri esok demi menggalas cabaran di pentas antarabangsa.
- Nor Sarah Adi anggap tidak beraya sebagai pengorbanan biasa dalam perjalanan sebagai atlet elit.
- Muhammad Naufal sedih kali pertama tidak beraya bersama keluarga tetapi bersemangat beraksi demi mengharumkan nama Malaysia.
- Jurulatih Roslinda yakin kesiapan atlet tidak menjejaskan prestasi; mereka bersedia untuk lakukan yang terbaik di Taiwan.
Muhammad Naufal Shahrul Afzam, Muhammad Hafidzul Ain, Nor Sarah Adi dan Noor Shahreen Jamizan, bakal beraksi pada Kejohanan Lompat Bergalah Antarabangsa Taiwan 2026 serta Kejohanan Jemputan Lompat Bergalah Nantou-Sun Moon Lake bermula Ahad hingga 25 Mac ini.
Bagi Nor Sarah Adi, pengorbanan itu bukan sesuatu yang asing, sebaliknya dianggap sebahagian daripada perjalanan sebagai atlet elit.
“Tidak beraya itu sudah perkara biasa. Itulah pengorbanan jika mahu berjaya sebagai atlet negara,” katanya menerusi video yang dikongsikan di Facebook Olahraga Malaysia hari ini.
Sementara itu, Muhammad Naufal mengakui sedih kerana ini kali pertama tidak beraya bersama keluarga, namun tetap bersemangat untuk beraksi demi mengharumkan nama Malaysia.
“Saya perlu lalui semua ini jika mahu mencapai impian,” katanya.
Dalam pada itu, jurulatih lompat bergalah negara, Roslinda Samsu yakin situasi berkenaan tidak menjejaskan prestasi atlet memandangkan mereka sudah bersedia lebih awal.
“Mereka memang berhasrat untuk sertai kejohanan ini dan bersedia untuk melakukan yang terbaik,” katanya.