Artan positif walau dinafikan bertugas di Piala Dunia

pengadil bola sepak Somalia, Omar Abdulkadir Artan (kanan) pernah dinobatkan sebagai Pengadil Lelaki Terbaik Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) 2025 / foto AFP

MIAMI, 9 Jun – Impian pengadil bola sepak Somalia, Omar Abdulkadir Artan, untuk mencipta sejarah sebagai rakyat Somalia pertama mengadili perlawanan Piala Dunia tidak kesampaian selepas beliau dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat (AS).

RINGKASAN BERITA AI
  • FIFA mengesahkan Artan tidak dapat menjalani latihan atau bertugas di Piala Dunia 2026.
  • Kerajaan Somalia mengadakan rundingan dengan AS dan FIFA namun usaha membolehkan Artan memasuki negara itu gagal.
  • FIFA bukan pihak dalam proses imigresen tuan rumah; pihak berkuasa memaklumkan status Artan tidak akan berubah buat masa ini.
  • CBP nyatakan seorang warga Somalia didapati tidak layak masuk selepas saringan; media lapor visa Artan sah tetapi tidak mencukupi.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan, Artan tidak dapat menjalani latihan mahupun bertugas pada Piala Dunia 2026 yang akan bermula Khamis ini selepas beliau tidak dibenarkan memasuki AS pada hujung minggu lalu.

Kerajaan Somalia memaklumkan pihaknya telah berusaha mengadakan rundingan dengan kerajaan AS dan FIFA bagi membolehkan Artan memasuki negara itu, namun usaha tersebut tidak berhasil.

Kementerian Belia dan Sukan Somalia dalam satu kenyataan, menyifatkan pencapaian Artan di pentas antarabangsa sebagai kebanggaan rakyat negara itu.

“Pencapaian beliau di peringkat antarabangsa merupakan satu penghormatan dan kebanggaan kepada rakyat Somalia,” menurut kenyataan tersebut.

Usaha diplomatik masih diteruskan bagi mencari jalan penyelesaian yang membolehkan Artan menyertai kejohanan berkenaan.

Sementara itu, FIFA menjelaskan badan induk bola sepak dunia itu tidak terlibat dalam proses imigresen negara tuan rumah, termasuk urusan kelulusan visa dan kemasukan.

“FIFA telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa status Omar Artan tidak akan berubah buat masa ini,” menurut organisasi itu.

Laman web rasmi FIFA bagaimanapun tidak menyatakan perlawanan yang sepatutnya dikendalikan oleh Artan sepanjang kejohanan tersebut.

Dalam kenyataannya, Artan berkata beliau tetap positif walaupun berdepan situasi mengecewakan itu dan akan terus memberi tumpuan kepada kerjaya pengadilannya pada masa depan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) atas segala sokongan yang diberikan. Saya berjanji akan terus meningkatkan prestasi pengadilan dan memberi fokus kepada cabaran akan datang,” katanya.

Menurut kenyataan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP), seorang warga Somalia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami dari Istanbul pada Sabtu lalu didapati tidak layak memasuki negara itu selepas melalui proses saringan keselamatan dan imigresen.

CBP tidak memperincikan faktor yang menyebabkan individu berkenaan ditolak masuk, namun menjelaskan keputusan kemasukan dibuat berdasarkan penilaian kes demi kes menggunakan maklumat penguatkuasaan undang-undang, keselamatan negara dan imigresen yang tersedia ketika pemeriksaan dijalankan.

Menurut laporan media, Artan yang dinobatkan sebagai Pengadil Lelaki Terbaik CAF 2025 memiliki visa yang sah ketika cuba memasuki AS. Namun, status visa tersebut tidak mencukupi untuk membolehkannya melepasi pemeriksaan imigresen negara berkenaan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.