Aaron-Wooi Yik asah persiapan hadapi All England 2026

Kejohanan Terbuka Jerman pada 24 Februari hingga 1 Mac ini bakal menjadi medan penting untuk memantapkan prestasi beregu lelaki negara Aaron-Wooi Yik menjelang All England 2026./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Januari – Pemain beregu lelaki utama negara, Aaron Chia, percaya kejohanan Terbuka Jerman yang dijadual berlangsung dari 24 Februari hingga 1 Mac di Mulheim an der Ruhr akan menjadi medan penting untuk memantapkan prestasi menjelang All England di Birmingham dari 3 hingga 8 Mac 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aaron anggap Terbuka Jerman sebagai medan penting untuk memantapkan prestasi menjelang All England 2026.
  • Mereka mendapat tempoh latihan lebih panjang dan satu kejohanan pemanas badan sebelum Terbuka Jerman.
  • Persekitaran Eropah memerlukan penyesuaian cepat untuk kekalkan konsistensi permainan.
  • Aaron tekankan kepentingan keseimbangan kecergasan fizikal dan latihan di gelanggang.

Menurut Aaron, dengan tempoh latihan yang lebih panjang serta satu kejohanan pemanas badan sebelum Terbuka Jerman, beliau yakin persiapan tersebut akan memberi manfaat kepada dia dan gandingannya, Soh Wooi Yik, sebelum mengharungi cabaran di Birmingham.

“Sebelum All England, kami akan beraksi pada Terbuka Jerman terlebih dahulu. Jadi, kami akan memanfaatkan kejohanan itu sebagai persiapan yang mencukupi sebelum All England,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan hari ini.

Aaron, yang pernah muncul naib juara All England bersama Wooi Yik pada 2019 dan 2024, berkata kejohanan bertaraf Super 1000 itu bakal berlangsung sengit sekali gus memperlukan persiapan sebaiknya.

Jelas beliau, keadaan dan persekitaran di Eropah memerlukan dia dan Wooi Yik untuk cepat menyesuaikan diri sebelum kejohanan berlangsung.

“Bukan mudah untuk menyasarkan keputusan atau mengekalkan konsistensi permainan. Apabila tiba di Eropah, banyak perkara yang perlu kami sesuaikan,” katanya.

Aaron turut mengakui kepentingan mengekalkan keseimbangan antara tahap kecergasan fizikal dan latihan di gelanggang.

Dalam masa sama, juara dunia 2022 itu memahami keperluan untuk membuat penyesuaian bagi meningkatkan tahap prestasi mereka menjelang aksi All England kali ini. – BERNAMA