
KUALA LUMPUR, 25 Februari – Pemain beregu lelaki negara, Kang Khai Xing, meluahkan rasa teruja selepas berjaya melayakkan diri buat kali pertama ke Kejohanan All England bersama pasangannya, Aaron Tai.
- Khai Xing teruja layak kali pertama ke All England bersama Aaron Tai.
- Pasukan sedang memantapkan beberapa aspek terakhir sebelum kejohanan.
- Mereka lihat peluang untuk nilai jurang dengan kelompok 10 terbaik dunia.
- Walau cabaran getir, mereka nekad beri tentangan sengit kepada semua lawan.
Khai Xing berkata, persiapan mereka hampir lengkap dengan pasukan kini giat memperkemaskan beberapa aspek terakhir menjelang kejohanan berprestij itu.
“Saya memang tidak terlalu memikirkan banyak perkara, sebaliknya hanya mahu bermain dan menikmati setiap perlawanan di gelanggang. Pada masa sama, saya melihat ini sebagai peluang baik untuk menilai tahap sebenar permainan kami, sama ada jurang dengan kelompok 10 pemain terbaik dunia itu jauh atau sebaliknya,” katanya selepas sesi latihan, pada Selasa.
Menurutnya, prestasi gandingannya bersama Aaron Tai menunjukkan peningkatan positif, namun mengakui masih banyak aspek perlu dipertingkatkan bagi bersaing dengan pemain berstatus ranking tertinggi dunia.
Kejohanan berkenaan akan berlangsung dari 3 hingga 8 Mac ini di Birmingham, England.
Turut mewakili negara dalam acara beregu lelaki ialah pasangan Aaron Chia – Soh Wooi Yik, Man Wei Chong – Tee Kai Wun, Goh Sze Fei – Nur Izzuddin, Wan Arif Junaidi – Yap Roy King serta Azriyn Ayub – Tan Wee Kiong.
Khai Xing bagaimanapun menegaskan, meskipun menyedari cabaran getir menanti di All England, beliau dan Aaron tetap nekad memberikan tentangan sengit kepada setiap lawan yang dihadapi.