Sara Duterte berdepan penyingkiran, bakal beri keterangan

Foto AFP

MANILA, 30 November – Naib Presiden Filipina, Sara Duterte akan tampil memberi keterangan dalam perbicaraan pemecatannya di Dewan Senat minggu depan berhubung kemungkinan kehilangan jawatan dan masa depan politiknya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sara dijadual menjadi saksi pembelaan Jumaat ini untuk menafikan semua tuduhan terhadapnya.
  • Pendakwaan mendakwa beliau memiliki sekurang-kurangnya 817 juta peso daripada pelaburan yang tidak dibenarkan.
  • Jika disabitkan kesalahan, Sara boleh disingkirkan daripada jawatan dan hilang kelayakan bertanding, termasuk pada Pilihan Raya Presiden 2028.

Jurucakap mahkamah pemecatan Senat, Reginald Tongol berkata, ahli politik berusia 48 tahun itu dijadual menjadi saksi pihak pembelaan pada Jumaat ini.

Katanya, peguam Sara memaklumkan kepada mahkamah pada Ahad mengenai hasrat anak bekas Presiden Rodrigo Duterte itu untuk memberikan keterangan bagi menafikan semua tuduhan terhadapnya.

Sara, yang sebelum ini sekutu Presiden Ferdinand Marcos tetapi kini menjadi seteru politiknya, berdepan pertuduhan berkaitan kekayaan yang tidak dapat dijelaskan, namun menafikan dakwaan berkenaan.

Pihak pendakwaan mendakwa beliau memiliki sekurang-kurangnya 817 juta peso atau (AS$12.8 juta) hasil pelaburan yang tidak dibenarkan disertainya bersama suaminya.

Sara dipecat oleh Dewan Perwakilan pada Mei lalu selepas berdepan beberapa tuduhan termasuk merancang pembunuhan Marcos, rasuah, penyalahgunaan dana awam dan pemilikan kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diketuai anggota Dewan Perwakilan kemudian menggugurkan tiga tuduhan pertama bagi mempercepatkan prosiding, dengan menyatakan keyakinan bahawa beliau akan didapati bersalah atas pertuduhan keempat.

Jika disabitkan kesalahan, Sara boleh disingkirkan daripada jawatannya dan hilang kelayakan secara kekal untuk bertanding dalam pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Presiden 2028 bagi memilih pengganti Marcos.

Pada Jumaat lalu, Sara berkata beliau bersedia menerima keputusan Senat, namun belum berbincang dengan pasukan peguamnya mengenai kemungkinan tampil memberi keterangan sendiri.

Kes pemecatan itu merupakan tamparan kedua kepada keluarga Duterte selepas bekas Presiden Rodrigo Duterte ditahan dan diserahkan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Rodrigo, 81, dijadual menghadapi perbicaraan pada Isnin atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan membabitkan pembunuhan dan cubaan membunuh berkaitan operasi memerangi dadah yang mengorbankan banyak nyawa ketika beliau menjadi Presiden Filipina dan Datuk Bandar Davao. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.