
KUALA LUMPUR, 29 November – Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu memperluas kerjasama dengan pengeluar kenderaan bagi membuka lebih banyak peluang kepada syarikat Bumiputera menjadi pembekal komponen automotif kepada pengeluar peralatan asal (OEM), termasuk di peringkat antarabangsa.
- MARA perlu membangunkan kepakaran teknikal syarikat tempatan secara konsisten agar memenuhi keperluan dan standard pengeluar utama.
- Syarikat tempatan wajar dilibatkan sejak peringkat reka bentuk dan pengujian, sekali gus menerima pemindahan teknologi dan peluang menembusi pasaran global.
- MARA perlu meneliti usaha sama dan penyertaan ekuiti bagi memperkukuh penyertaan, pemilikan serta penguasaan Bumiputera dalam industri automotif.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu perlu disokong dengan pembangunan kepakaran teknikal secara konsisten bagi membolehkan syarikat tempatan memenuhi keperluan dan standard pengeluar utama.
“Saya mahu MARA menjalinkan kerjasama dengan pengeluar kenderaan dan pembekal utama bagi mengenal pasti komponen yang berpotensi dibangunkan oleh syarikat tempatan.
“Syarikat tempatan perlu dilibatkan sejak peringkat reka bentuk dan pengujian produk sehingga mencapai tahap kelayakan untuk dipertimbangkan sebagai pembekal kontrak.
“Melalui pendekatan ini, pemindahan teknologi bukan sahaja dapat memperkukuh keupayaan industri tempatan, malah membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menembusi pasaran serantau dan global”, katanya demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2026.
Beliau turut mahu MARA meneliti peluang usaha sama dan penyertaan ekuiti dengan pengeluar utama bagi memberi syarikat Bumiputera peranan dalam pembangunan produk serta peluang membina kepakaran dan memiliki kepentingan dalam perniagaan.
“Inilah yang saya maksudkan menerusi Kongres Ekonomi Bumiputera, iaitu prinsip 3P yang merangkumi penyertaan, pemilikan dan penguasaan.
“Kita mahu lebih ramai anak bangsa terlibat secara langsung dalam rantaian bekalan, memiliki syarikat yang berdaya saing serta menguasai teknologi bagi membangunkan produk sendiri”, jelasnya.
MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2026 menghimpunkan 250 pempamer dan menarik 339,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 27 sehingga 29 November 2026.
Program itu mempertemukan usahawan automotif, bakat muda dan pengeluar kenderaan untuk membuka peluang kerjasama dalam pembangunan produk dan teknologi serta meluaskan akses usahawan tempatan ke pasaran antarabangsa.