Malaysia perlu waspada kegiatan perisikan Mossad di negara jiran

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan orang ramai semasa menghadiri Majlis Peluncuran Semarak Wakaf Perdana 2026 di Pulau Pinang / Foto BERNAMA

GEORGE TOWN, 29 November – Malaysia perlu meningkatkan kewaspadaan terhadap kegiatan perisikan Israel di negara jiran susulan peningkatan aktiviti agensi perisikan Mossad di rantau ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • MKN diminta memaklumkan perkembangan kegiatan Mossad yang didakwa menggunakan pangkalan di negara jiran, termasuk Phuket, Bangkok dan selatan Thailand.
  • Aktiviti itu meningkat sehingga tiga kali ganda dalam tempoh tiga hingga empat tahun, sekali gus menuntut perhatian serius terhadap keselamatan negara.
  • Malaysia perlu mengekalkan hubungan baik dengan negara jiran sambil memperkukuh keupayaan keselamatan sendiri dan menangani ancaman melalui kerjasama serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diminta memaklumkan kepada rakyat mengenai perkembangan itu, termasuk kegiatan yang didakwa menggunakan pangkalan di negara jiran.

Beliau berkata, aktiviti berkenaan meningkat sehingga tiga kali ganda dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini dan memerlukan perhatian serius terhadap aspek keselamatan negara.

“Saya sudah meminta Majlis Keselamatan Negara memaklumkan kepada rakyat bahawa kegiatan Mossad Israel yang menggunakan pangkalan di negara jiran semakin ketara. Dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini, kekuatannya meningkat sehingga tiga kali ganda.

Kegiatan itu bukan sahaja dikesan di Phuket dan Bangkok, malah turut melibatkan kawasan selatan Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Semarak Wakaf Perdana 2026, di sini, hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, Malaysia perlu mengekalkan hubungan baik dengan negara jiran bagi memastikan sebarang ancaman keselamatan serantau dapat ditangani melalui kerjasama yang berkesan.

Perdana Menteri berkata hubungan diplomatik yang baik penting dalam menghadapi perkembangan geopolitik semasa, namun pada masa yang sama Malaysia perlu sentiasa berwaspada dan memperkukuh keupayaan keselamatan sendiri

Isu itu sebelum ini turut mendapat perhatian pihak berkuasa Thailand apabila Timbalan Menteri Dalam Negerinya mengarahkan siasatan terhadap dakwaan pembelian tanah di tiga wilayah paling selatan negara itu oleh syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel, dengan nilai urus niaga hampir 100 juta baht, September lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.