
GENEVA, 29 November – Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan terhadap Cuba susulan krisis ekonomi negara itu yang semakin meruncing sehingga menjejaskan sistem kesihatannya.
- Tedros menggambarkan hospital dipenuhi kanak-kanak dan keluarga, sementara petugas kesihatan berkhidmat dalam keadaan serba kekurangan.
- Sekatan ekonomi dan bekalan minyak memburukkan keadaan, dengan jangka hayat penduduk merosot dan kadar kematian bayi meningkat.
- WHO mengumumkan bantuan AS$2 juta untuk vaksinasi kanak-kanak dan peralatan perubatan, serta menyambut baik rancangan pembaharuan ekonomi Havana.
Tedros berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Cuba dan menyaksikan sendiri keadaan hospital serta petugas kesihatan yang berdepan kekurangan sumber ketika berusaha memberikan rawatan kepada pesakit.
“Saya baru pulang dari Cuba dan berasa sedih dengan apa yang saya saksikan,” katanya menerusi hantaran di platform X pada Sabtu.
Beliau turut menggambarkan keadaan di hospital yang dipenuhi kanak-kanak dan keluarga mereka yang mengharapkan rawatan, selain petugas kesihatan yang terus berkhidmat dalam keadaan serba kekurangan.
“Kanak-kanak tidak sepatutnya menjadi mangsa pertikaian politik. Saya menggesa AS menarik balik sekatan demi kepentingan mereka,” katanya.
Sekatan baharu dan sekatan bekalan minyak yang dikenakan Washington sejak Januari lalu dilaporkan semakin memburukkan keadaan ekonomi Cuba, sekali gus mencetuskan gangguan bekalan elektrik serta kekurangan barangan keperluan asas.
Tedros sebelum ini memaklumkan jangka hayat penduduk Cuba merosot daripada 78.8 tahun pada 2020 kepada 74.4 tahun pada 2025, iaitu penurunan pertama sejak rekod bermula pada 1950.
Kadar kematian bayi turut meningkat lebih dua kali ganda daripada kira-kira empat kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada 2020 kepada 9.9 pada 2025.
Bagaimanapun, angka jangka hayat dan kematian bayi itu direkodkan sebelum sekatan bekalan minyak AS bermula pada Januari lalu.
Dalam lawatan ke Havana pada Selasa, Tedros menyifatkan sistem kesihatan Cuba berada dalam keadaan kritikal dan mengumumkan bantuan AS$2 juta bagi menyokong program vaksinasi kanak-kanak serta pembelian peralatan perubatan penting.
Beliau mengaitkan kemerosotan sektor kesihatan itu dengan sekatan ekonomi, selain mengakui wujud masalah dalaman yang perlu ditangani kerajaan Cuba.
Tedros turut menyambut baik rancangan pembaharuan ekonomi berasaskan pasaran yang diumumkan Havana, meliputi sektor ekonomi, kesihatan dan pelbagai bidang lain.
Cuba berdepan sekatan perdagangan AS sejak 1962, manakala ketegangan antara kedua-dua negara terus meningkat susulan tindakan Washington terhadap kerajaan komunis negara itu.-AFP