
TIRANA, 29 November – Polis Albania melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasaan selepas kumpulan penunjuk perasaan bertopeng menyerang bangunan kerajaan, membakar sekurang-kurangnya sebuah bangunan dan bertempur dengan anggota keselamatan, di sini.
- Penunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Edi Rama.
- Protes berbulan-bulan berpunca daripada dakwaan rasuah, kelemahan penjagaan kesihatan dan kekurangan peluang untuk golongan muda.
- EU menggesa siasatan terhadap dakwaan kekerasan melampau polis dan menyeru semua pihak meredakan ketegangan.
Penunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Edi Rama sekali gus menyaksikan keganasan terus memuncak.
Ribuan orang berhimpun di pusat bandar Tirana pada Sabtu selepas golongan pelajar dan parti pembangkang secara berasingan menyeru agar protes besar-besaran diadakan di seluruh negara.
Perhimpunan itu diadakan serentak dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara berkenaan.
Negara Balkan itu digegarkan dengan siri protes sejak beberapa bulan lalu yang sering bertukar menjadi pertempuran ganas antara pihak polis dan penunjuk perasaan.
Rasa tidak puas hati rakyat bermula pada Mei lalu menerusi perhimpunan aman membantah projek hotel mewah di kawasan rizab alam semula jadi pesisir pantai yang dikaitkan dengan keluarga Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Projek tersebut mencetuskan kemarahan berhubung dakwaan rasuah dan gelombang protes semakin meluas dengan turut menyasarkan kelemahan sistem penjagaan kesihatan serta kekurangan peluang masa depan bagi golongan muda.
Bulan lalu, kerajaan meluluskan undang-undang yang mengenakan denda hingga 500,000 lek (kira-kira RM27,000) terhadap individu yang melakukan keganasan, rompakan atau menyembunyikan identiti ketika menyertai protes.
Undang-undang baharu itu turut memberi kuasa kepada polis untuk menyekat sementara perhimpunan berhampiran institusi awam serta menghukum tindakan menghasut keganasan secara dalam talian.
Sejak penguatkuasaan undang-undang berkenaan, jumlah kehadiran penunjuk perasaan dilihat semakin berkurangan.
Kesatuan Eropah (EU) menggesa siasatan dijalankan terhadap dakwaan penggunaan kekerasan melampau oleh pihak polis serta menyeru semua pihak meredakan ketegangan.- AFP