
KUALA LUMPUR, 27 November – Tokoh akademik dan penganalisis politik terkenal, Dr Chandra Muzaffar meninggal dunia hari ini pada usia 79 tahun.
- Berita pemergian Dr Chandra Muzaffar dikongsikan oleh Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST).
- Beliau merupakan Presiden JUST dan tokoh yang banyak mengulas geopolitik, dasar luar serta hubungan antarabangsa.
- Beliau pernah mempengerusikan Yayasan Perpaduan Malaysia dan menyokong dasar luar Malaysia yang tidak berpihak.
- Pengasas Aliran itu aktif memperjuangkan hak asasi manusia dan dialog antara tamadun.
Berita pemergian Dr Chandra Muzaffar dikongsikan oleh Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST) menerusi satu kenyataan.
“Kami amat berdukacita atas pemergian beliau dan akan memaklumkan butiran lanjut mengenai urusan pengebumian sebaik sahaja maklumat berkenaan diperoleh.
“Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan keberkatan ke atas roh Allahyarham serta menempatkannya dalam kalangan orang yang soleh,” menurut JUST.
JUST turut merakamkan ingatan dan mendoakan kesejahteraan keluarga Allahyarham dalam menghadapi saat sukar ketika ini.
Allahyarham dilahirkan pada 1947 di Bedong, Kedah dan merupakan ahli sains politik Malaysia.
Allahyarham yang juga Presiden JUST merupakan tokoh yang banyak mengulas isu geopolitik, dasar luar dan hubungan antarabangsa.
Beliau pernah mempengerusikan Yayasan Perpaduan Malaysia dan sering berkongsi pandangan mengenai perkembangan politik serta hubungan antarabangsa.
Allahyarham juga dikenali sebagai penyokong kuat pendirian dasar luar Malaysia yang tidak berpihak dalam menghadapi konflik global.
Beliau memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sosial dari Universiti Singapura pada 1977.
Sepanjang penglibatannya dalam bidang kemasyarakatan, Allahyarham aktif memperjuangkan hak asasi manusia dan dialog antara tamadun.
Beliau merupakan pengasas pertubuhan hak asasi manusia Aliran Kesedaran Negara (Aliran) dan pernah menjadi presiden pertubuhan itu dari 1977 hingga 1991.
Dalam bidang akademik, Allahyarham pernah menjadi Pengarah pertama Pusat Dialog Peradaban di Universiti Malaya (UM) sebelum dilantik sebagai Profesor Noordin Sopiee dalam Pengajian Global di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Antara karya penulisan beliau termasuk Universalism of Islam (1979), Islamic Resurgence in Malaysia (1987) dan Human Rights and the New World Order (1993).
Dalam penglibatan politik, beliau pernah menjadi Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional (KeADILan) pada 1999 dan meninggalkan politik kepartian pada November 2001.