
WASHINGTON, 27 November – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan sokongan terhadap tindakan Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi meletakkan pintu sempadan Kurdistan dan beberapa medan minyak bawah kawalan kerajaan persekutuan bagi membendung kegiatan penyeludupan minyak.
- Ali al-Zaidi berikrar membanteras rasuah dan perdagangan minyak haram, termasuk menahan beberapa pegawai serta mencabar kumpulan bersenjata disokong Iran.
- Dokumen risikan Iraq mendakwa minyak dari Kirkuk dan Sulaymaniyah diseludup ke Iran sebelum dipercayai dicampurkan dan dieksport ke Afghanistan.
- Kerajaan Iraq menegaskan penyeludupan ke mana-mana negara dilarang dan semua sempadan antarabangsa perlu berada dalam kawalan.
Bagaimanapun, keputusan tersebut mendapat bantahan meluas daripada pihak berkuasa Kurdish yang menyifatkannya sebagai satu pelanggaran perlembagaan.
Terdahulu, Ali al-Zaidi berikrar untuk memerangi gejala rasuah yang berleluasa di Iraq menerusi tindakan membanteras perdagangan minyak haram, termasuk menahan beberapa pegawai serta mencabar kumpulan bersenjata yang disokong Iran selepas kegiatan penyeludupan dikesan di kawasan kubu kuat kumpulan itu berhampiran Baghdad.
Menerusi hantaran di platform Truth Social pada Jumaat, Trump berkata Washington menyokong usaha kerajaan Iraq untuk memperkukuh kuasa negara, menghentikan penyeludupan minyak dan membanteras rasuah.
“Kami menyokong usaha Perdana Menteri Iraq, Ali al-Zaidi untuk menegakkan kuasa kerajaan di seluruh Iraq, menghentikan penyeludupan minyak Iraq, membanteras rasuah dan memastikan semua senjata berada bawah kawalan eksklusif negara,” katanya.
Susulan pengumuman Zaidi pada Selasa, agensi berita negara Iraq, INA yang memetik dokumen risikan mendakwa, minyak mentah tersebut diseludup menggunakan lori tangki dari medan minyak di wilayah Kirkuk dan Sulaymaniyah ke Iran.
Minyak berkenaan kemudian dipercayai dicampurkan dengan minyak mentah Iran sebelum dieksport ke Afghanistan untuk kegunaan domestik.
Namun perkara tersebut tidak dapat disahkan secara bebas dengan menyatakan pencampuran minyak Iraq dan Iran dilakukan bagi membantu Tehran mengelak sekatan antarabangsa.
Sumber keselamatan di Baghdad berkata, pendirian kerajaan adalah jelas bahawa sebarang kegiatan penyeludupan ke Iran atau negara lain adalah dilarang, manakala keseluruhan sempadan antarabangsa perlu dipastikan berada dalam kawalan.
Sementara itu, AS yang mempunyai hubungan rapat dengan Zaidi sejak beliau memegang jawatan tahun ini, sebelum ini menuduh Iran menggunakan ekonomi Iraq sebagai saluran untuk mengelak sekatan antarabangsa.-AFP