
KUALA LUMPUR, 26 November – Kerajaan dijangka membuat 47 pindaan ke atas tiga akta yang dianggap lapuk dalam sistem perundangan negara.
- Pindaan dijangka dibuat tahun depan selepas pertemuan dengan agensi berkaitan dan penyediaan draf.
- Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah dianggap ketinggalan zaman serta tidak lagi sesuai dengan perubahan nilai masyarakat.
- CLRC dibantu penyelidik dan profesor UM serta UKM untuk memperkukuh keadilan jenayah dan memastikan pembaharuan memberi kesan kepada masyarakat.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran, tiga akta itu membabitkan Kanun Keseksaan (Akta 574), Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) dan Akta Keterangan 1950 (Akta 56) dan menjangkakan pindaan dibuat tahun depan.
“Jangkaan itu lama lagi. Ketika ini kita nak buat perjumpaan dengan agensi-agensi terlebih dahulu. Mungkin tahun depan termasuk draf dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri sesi Town Hall Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-undang Jenayah di Bangunan Parlimen, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang Jenayah (CLRC), Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal berkata tiga akta berkenaan tidak lagi sesuai dengan perubahan nilai masyarakat.
“Ketiga-tiga akta ini mungkin paling tua dalam sejarah negeri. Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah ini sudah lama dan ia merupakan peruntukan undang-undang yang sudah ketinggalan zaman” jelasnya.
Tambah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu, jawatankuasa tersebut turut dibantu penyelidik dan profesor daripada Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertujuan memperkukuh sistem keadilan jenayah selain memastikan pembaharuannya memberi kesan kepada masyarakat.
Sesi berkenaan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.