
KUALA LUMPUR, 24 November – Pelancaran platform digital ASEAN Minerals Connect (AMConnect) bertujuan mempertingkat padanan perniagaan serta merancakkan kemasukan pelaburan berdaya maju secara komersial dalam sektor mineral serantau.
- AMConnect berfungsi sebagai hab sehenti yang memaparkan projek dan peluang pelaburan mineral berpotensi dibiayai.
- Platform ini memudahkan padanan perniagaan antara pembiaya dengan pengusaha projek, termasuk merentasi sempadan serantau.
- Inisiatif ini memperluas akses pembiayaan bagi pemain industri tempatan dan serantau, dengan pelaksanaan projek secara mampan dan saksama.
- Malaysia, Indonesia dan Vietnam dipilih sebagai negara perintis Projek Mineral Sedia Dilabur yang menyokong ekosistem AMConnect.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, platform itu berperanan sebagai hab sehenti untuk memaparkan senarai projek serta peluang pelaburan sektor mineral di rantau ini yang berpotensi dibiayai.
Menurut beliau, inisiatif di bawah Forum Pelaburan Mineral ASEAN (AMVEST) 2026 itu amat penting bagi memastikan pemain industri tempatan dan serantau mendapat akses pembiayaan yang lebih luas.
“Walaupun kita ingin memulakan lebih banyak projek untuk memanfaatkan nilai sumber asli di rantau ini, kita mahu memastikan ia dilaksanakan secara mampan dan saksama.
“Justeru, AMConnect memudahkan padanan perniagaan antara pihak pembiaya dan pengusaha projek, bukan sahaja di peringkat domestik malah merentasi sempadan serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pembukaan Bersama Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Mineral (AMMin) ke-11 dan Forum Pelaburan Mineral ASEAN (AMVEST) 2026, di ibu negara, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Arthur turut memaklumkan Malaysia, Indonesia dan Vietnam dipilih sebagai negara perintis awal bagi inisiatif Projek Mineral Sedia Dilabur (IRMP) yang menyokong ekosistem AMConnect.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Ekonomi ASEAN, Satvinder Singh menjelaskan platform berkenaan menghimpunkan data serta maklumat sahih daripada semua negara anggota bagi membantu pelabur membuat keputusan dengan lebih pantas dan berkesan.
“Jadi pada asasnya, apabila pelabur ingin melabur di rantau kita, mereka memerlukan data yang boleh dipercayai, maklumat yang sahih.
“Dan AMConnect adalah cara kita mengumpulkan data daripada negara-negara anggota ke dalam satu tempat supaya pelabur dapat membuat keputusan untuk rantau kita dengan cepat dan berkesan,”katanya.