
WASHINGTON, 21 November – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memuji hubungan baiknya dengan Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
- Trump mengancam cukai amat tinggi ke atas syarikat AS yang membina pusat data di luar negara.
- Ancaman itu isyarat langkah baharu untuk menyekat akses China kepada kuasa pengkomputeran canggih.
- Washington perketat kawalan eksport tutup kelompangan yang benarkan syarikat China sewa kuasa AI di Asia Tenggara.
- Peraturan baharu wajibkan semua pusat data dunia dapat lesen AS sebelum bekalkan kuasa pengkomputeran berkapasiti tinggi kepada entiti China.
Trump menyifatkan hubungan tersebut membantu menjamin keselamatan AS.
“Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Putin. Itu satu perkara yang amat positif.
“Saya juga mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Jinping. Itu juga perkara baik. Negara kita selamat kerana hubungan tersebut,” katanya dalam sidang media di White House pada Jumaat.
Menyentuh mengenai pusat data, Trump mengancam untuk mengenakan cukai yang amat tinggi terhadap syarikat AS yang membina pusat data di luar negara.
Ancaman itu sekali gusu memberi isyarat langkah baharu bagi menyekat akses China kepada kuasa pengkomputeran canggih.
“Kita tidak akan membenarkan syarikat membina pusat data di negara lain. Jika mereka berbuat demikian, mereka boleh meneruskannya. Tetapi kita akan mengenakan cukai yang amat tinggi terhadap mereka.
“China akan mengambil kesemuanya dan kita tidak akan membenarkan perkara itu berlaku,” katanya.
Pada Isnin, Washington mengambil langkah memperketat kawalan eksport bagi menutup kelompangan peraturan yang sebelum ini membolehkan syarikat China menyewa kuasa pengkomputeran AI daripada pusat data di Asia Tenggara dan wilayah lain yang menggunakan perkakasan buatan Amerika Syarikat.
Menerusi peraturan baharu itu, semua pusat data di seluruh dunia perlu mendapatkan lesen AS sebelum membekalkan kuasa pengkomputeran berkapasiti tinggi menggunakan cip canggih kepada syarikat yang berpangkalan di China, Macau serta wilayah lain yang tertakluk kepada sekatan AS.-AFP