Hoki PSAS: Malaysia benam Korea Selatan 3-0

Foto FB Malaysian Hockey Confederation

IPOH, 20 November – Malaysia memulakan kempen Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-32 dengan menewaskan Korea Selatan 3-0 pada perlawanan pembukaan di Stadium Hoki Azlan Shah di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia pecah kebuntuan suku ketiga dengan gol Azrai Aizad (minit 35) dan Azimuddin Syakir (minit 37)
  • Faizal Saari melengkapkan kemenangan melalui pukulan penalti pada minit ke-55
  • Kedudukan 3-0 kekal, Malaysia meraih tiga mata dan akan berdepan Kanada esok pada jam 7.30 malam

Skuad Speedy Tigers kendalian Ketua Jurulatih Brendon Carolan mempamerkan aksi cemerlang, khususnya pada suku ketiga apabila berjaya meledakkan dua gol untuk memecah kebuntuan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Pada suku pertama, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, dengan Malaysia lebih banyak mengasak kubu Korea Selatan, namun kedudukan kekal 0-0.

Malaysia meneruskan asakan pada suku kedua dan memperoleh pukulan sudut penalti pertama perlawanan pada minit ke-25, namun gagal memanfaatkannya untuk menghasilkan jaringan.

Bersambung pada suku ketiga, Malaysia akhirnya memecah kebuntuan menerusi gol padang penyerang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-35 sebelum Azimuddin Syakir Kamaruddin menggandakan kelebihan dua minit kemudian.

Pemain senior negara Faizal Saari melengkapkan kemenangan Malaysia menerusi pukulan penalti pada minit ke-55 selepas pengadil perlawanan menghadiahkan pukulan berkenaan.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus menyaksikan Malaysia meraih tiga mata pertama pada kempen kejohanan itu.

Dalam dua perlawanan terdahulu pada hari pembukaan, Australia menewaskan Amerika Syarikat 5-1 manakala Pakistan turut mencatat kemenangan dengan jaringan sama ke atas Kanada.

Malaysia akan meneruskan aksi peringkat liga menentang Kanada pada 7.30 malam esok manakala dua lagi perlawanan menyaksikan Amerika Syarikat berdepan Pakistan pada 3 petang dan Australia menentang Korea Selatan pada 5.15 petang.

PSAS ke-32 berlangsung dari 20 hingga 28 Nov membabitkan enam pasukan, iaitu Malaysia, Australia, Pakistan, Amerika Syarikat, Kanada dan Korea Selatan. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.