Lebih 500 warga asing ditahan dalam operasi imigresen

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli

KLANG, 20 November –Lebih 1,700 warga asing diperiksa dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dilaksanakan secara serentak di 34 lokasi seluruh negara, bermula 18 hingga 20 November.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 500 warga asing ditahan atas alasan munasabah disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
  • Operasi disertai 569 pegawai JIM dengan kerjasama JTK, JPN, AKPS dan pihak berkuasa tempatan.
  • Penguatkuasaan juga tumpu kepada pihak yang memudahkan pelanggaran undang-undang; orang ramai dan majikan diingatkan tidak melindungi PATI.

Daripada jumlah itu, lebih 500 individu ditahan atas alasan munasabah kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada pelbagai warganegara, antaranya Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal dan China.

Katanya, operasi ini dilaksanakan susulan aduan dan maklumat daripada orang awam.

“Operasi ini disertai 569 pegawai JIM dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Op Sasar di sebuah kilang di Meru, hari ini.

Dalam pada itu, JIM Putrajaya telah memeriksa 131 individu dan menahan 71 pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuahkilang membuat produk paku di Meru.

Kesemua yang ditahan ditempatkan di depot tahanan untuk siasatan dan tindakan susulan.

“Ini menunjukkan kami sangat serius dan ikut perincian lebih 37 operasi dilaksanakan setiap hari.

“Tiada jam tanpa operasi dan kita tidak kompromi dengan mana-mana warga asing yang melakukan kesalahan,” katanya.

Tegas beliau, tindakan penguatkuasaan bukan hanya tertumpu kepada pekerja asing, sebaliknya turut melibatkan pihak yang menjadi punca atau memudahkan berlakunya pelanggaran undang-undang.

Sehubungan itu, orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi PATI kerana tindakan sedemikian boleh mengundang tindakan undang-undang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.