Pertemuan Trump-Putin cetus harapan keamanan dunia

Foto FB Anwar Ibrahim

SHENZHEN, 20 November – Pertemuan bersejarah yang mempertemukan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin atas inisiatif Presiden China, Xi Jinping di sini disifatkan amat penting dalam memberikan jaminan keamanan serantau dan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kestabilan geopolitik membolehkan Malaysia fokus kepada pertumbuhan perdagangan dan pelaburan.
  • Kesepakatan kuasa besar memudahkan pengurusan rantaian bekalan antarabangsa dan melancarkan perdagangan.
  • Perjanjian itu membantu menstabilkan pasaran tenaga dan mempermudah import minyak dari Rusia.
  • Pertemuan trilateral mencapai konsensus untuk meredakan ketegangan dan membuka semula saluran komunikasi strategik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kestabilan geopolitik hasil kesepakatan kuasa-kuasa besar dunia itu membolehkan negara seperti Malaysia menumpukan perhatian kepada pertumbuhan perdagangan dan pelaburan, sekali gus melancarkan rantaian bekalan antarabangsa.

“Saya beritahu kebanggaan kita kerana ini satu-satunya kejayaan luar biasa Presiden Xi Jinping yang dapat menemukan Presiden Trump dan Presiden Putin di Shenzhen.

“Bagi negara seperti Malaysia, ini sangat penting kerana ia memberi jaminan keamanan supaya fokus kita bukan sahaja soal keselamatan tetapi juga perdagangan dan pelaburan.

“Umpamanya, hubungan kita dengan Rusia daripada segi import minyak dan sebagainya, apabila ada ketetapan itu, ia memudahkan dan melegakan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Xi di sini hari ini.

Datuk Seri Anwar berkata, jaminan keamanan dan kestabilan di peringkat antarabangsa secara langsung memberi impak positif dan kelegaan kepada negara-negara membangun dalam menguruskan dasar ekonomi serta hubungan dagang dua hala dengan kuasa besar.

Pertemuan trilateral julung kali di luar tirai Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC itu menyaksikan ketiga-tiga pemimpin berkenaan mencapai konsensus bagi meredakan ketegangan geopolitik, membuka semula saluran komunikasi strategik antara kuasa besar serta menstabilkan pasaran tenaga dan rantaian bekalan global.

Perdana Menteri berada di Shenzhen dalam rangka lawatan kerja tiga hari bermula 18 November lepas bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Asia Pasifik (APEC) ke-33.

Pertemuan dua hala dengan Xi di Rumah Tamu Negara Qilin Villa hari ini merupakan perbincangan keempat antara kedua-dua pemimpin, sekali gus melabuhkan tirai lawatan kerja Datuk Seri Anwar di hab teknologi China itu.

Turut mengiringi Perdana Menteri dalam pertemuan tersebut ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; pegawai kanan Kementerian Luar dan Pejabat Perdana Menteri serta Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.

Sepanjang berada di Shenzhen, Datuk Seri Anwar turut menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC, menyertai Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China, serta mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin termasuk Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon dan Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee Ka-Chiu.

Malaysia merupakan antara 12 ekonomi pengasas APEC pada 1989.

Dianggotai 21 ekonomi di Lingkaran Pasifik, blok kerjasama serantau itu mewakili hampir 40 peratus populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.