TikTok lancar alat kesan ‘deepfake’ bagi lindungi tokoh dunia

Alat pengesan persamaan wajah diperkenal TikTok bagi mengesan ‘deepfake’.

LONDON, 20 November – Platform media sosial TikTok memperkenal alat pengesan pemalsuan (deepfake) di peringkat global khusus untuk tokoh awam sebagai usaha mengekang penularan maklumat palsu janaan kecerdasan buatan (AI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Alat pengesan persamaan wajah membolehkan ahli politik dan pemilik akaun berpengikut ramai mengesan serta melaporkan kandungan AI yang menggunakan imej mereka tanpa kebenaran.
  • TikTok mengatakan alat itu langkah utama membendung maklumat palsu sepanjang musim pilihan raya Eropah, termasuk Itali, Perancis dan Greece.
  • Kesatuan Eropah menguatkuasakan peraturan ketelusan AI termasuk pelabelan 'deepfake'; YouTube turut membangunkan alat pengesan serupa.

Alat pengesan persamaan wajah (likeness detection tool) itu membolehkan ahli politik serta pemilik akaun yang mempunyai jumlah pengikut yang ramai mengesan serta melaporkan kandungan janaan AI yang menggunakan imej mereka tanpa kebenaran.

Kemudahan tersebut kini mula dilancarkan secara berperingkat.

‘Deepfake’ merujuk kepada teks, imej, video dan audio yang kelihatan seperti asli, namun sebenarnya dijana atau dimanipulasi menggunakan teknologi AI.

“Pengenalan alat ini merupakan langkah utama untuk membendung kempen maklumat palsu sepanjang musim pilihan raya di Eropah tahun depan termasuk di Itali, Perancis dan Greece,” jelas Ketua Perhubungan TikTok bagi Pilihan Raya Eropah, Francesca Scapolo.

Beliau menambah usaha memelihara integriti pilihan raya adalah antara tanggungjawab paling kritikal yang digalas oleh platform berkenaan.

“Alat pengesan persamaan wajah ini akan membantu ahli politik dan pihak kerajaan mengenal pasti kandungan yang berkemungkinan dijana oleh AI serta dikongsi tanpa kebenaran mereka,” katanya ketika Majlis Keselamatan dan Inovasi TikTok di sini pada Khamis.

Pada Ogos lalu, Kesatuan Eropah (EU) mula menguatkuasakan peraturan ketelusan AI secara menyeluruh termasuk mewajibkan pelabelan ke atas kandungan ‘deepfake’ dan bahan janaan AI yang lain.

Selain TikTok, platform YouTube turut membangunkan alat pengesan yang serupa bagi membolehkan pencipta kandungan mengesan video janaan AI yang menyamar sebagai diri mereka.– AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.