TTAM perkukuh skuad negara, intip khidmat jurulatih China

Gambar Hiasan /RTM

KUALA LUMPUR, 18 November – Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) sedang mengusahakan pelantikan jurulatih dari China sebagai antara langkah memperkukuh persiapan skuad kebangsaan menghadapi Sukan SEA 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • TTAM merancang mengekalkan pemain senior lelaki dan wanita sambil memfokus pembangunan pemain pelapis melalui program MSN.
  • Perbincangan mengenai tempoh perkhidmatan jurulatih antara dua tahun atau pelantikan awal satu tahun untuk menilai keberkesanan.
  • Sasaran pingat Sukan SEA 2027 dibincangkan bersama MSN tetapi keputusan muktamad masih memerlukan penelitian lanjut.

Pemangku Presiden Ping Pong Malaysia (TTAM), Datuk Paul Lee Kok Sun berkata, pelantikan itu diharap dapat membawa kepakaran serta pendekatan kejurulatihan bertaraf antarabangsa bagi meningkatkan prestasi pemain, sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia di pentas serantau.

“Pihak TTAM bakal melantik seorang lagi jurulatih daripada china,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) Majlis Sukan Negara (MSN) Bil. 2 di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam masa sama, TTAM turut merancang mengekalkan pemain senior lelaki dan wanita bagi memperkuatkan skuad negara, selain memberi perhatian kepada pembangunan pemain pelapis menerusi program kendalian MSN.

Pendekatan itu dilihat penting bagi memastikan kesinambungan prestasi pasukan kebangsaan, selain membuka ruang kepada pemain muda berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk menyertai pasukan podium negara.

Bagi memastikan pelantikan jurulatih baharu memberi impak kepada pembangunan sukan ping pong negara, TTAM dan MSN turut membincangkan tempoh perkhidmatan yang bersesuaian, sama ada untuk tempoh dua tahun atau pelantikan awal selama setahun bagi menilai prestasi serta keberkesanan program kejurulatihan.

Sementara itu, sasaran pingat bagi Sukan SEA 2027 telah dibincangkan bersama MSN namun keputusan muktamad masih memerlukan penelitian lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.