UPSI tawar khidmat pakar psikologi bantu Muhammad Hafizuddin

Profesor Madya Dr. Jaffry Zakaria / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 November – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menawarkan khidmat kepakaran psikologi sukan bagi membantu jaguh angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin, menghadapi trauma emosi susulan pembedahan pemotongan tangan kanan akibat kemalangan jalan raya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua pakar psikologi sukan FSSK, Dr. Nelfianty Mohd Rasyid dan Dr. Mon Redee Sut Txi, dipilih berdasarkan kepakaran dan pengalaman bekas atlet kebangsaan.
  • Cabaran terbesar atlet melibatkan kejutan emosi, fasa penafian dan kehilangan identiti sukan secara mendadak.
  • Keperluan rawatan bukan setakat pemulihan fizikal tetapi pengurusan kesan emosi terhadap kehidupan dan kerjaya sukan.
  • Pendekatan Pertolongan Cemas Psikologi penting untuk memproses trauma, membina daya tahan mental dan menstabilkan emosi sebelum rehabilitasi.

Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Profesor Madya Dr. Jaffry Zakaria berkata, dua pakar psikologi sukan fakulti iaitu Profesor Madya Dr. Nelfianty Mohd Rasyid dan Dr. Mon Redee Sut Txi, dipilih untuk mengendalikan intervensi berkenaan berdasarkan kepakaran serta pengalaman mereka sebagai bekas atlet kebangsaan.

“Dalam situasi kritikal ini, cabaran terbesar seorang atlet bukan sekadar proses penyembuhan luka fizikal, tetapi bagaimana untuk menguruskan kejutan emosi, fasa penafian, dan kehilangan identiti sukan secara mendadak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, cabaran utama Muhammad Hafizuddin ketika ini bukan sahaja melibatkan pemulihan fizikal, malah keperluan menguruskan kesan emosi akibat perubahan besar dalam kehidupan dan kerjaya sukannya.

Beliau berkata, pendekatan Pertolongan Cemas Psikologi (PFA) penting bagi membantu atlet itu memproses trauma, membina daya tahan mental serta menstabilkan emosi sebelum meneruskan fasa rehabilitasi.

“Pihak fakulti sentiasa komited untuk menyumbang kepakaran sains sukan demi kesejahteraan atlet negara, tanpa mengira situasi, malah seluruh warga UPSI mendoakan agar proses pemulihan awal Muhammad Hafizuddin berjalan lancar dan dikurniakan kekuatan jiwa yang luar biasa untuk bangkit daripada ujian ini,” katanya lagi dalam kenyataan sama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.