
KUALA LUMPUR, 18 November – Keperluan mewujudkan formasi tempur khusus di bawah pemerintahan langsung Markas Angkatan Bersama (MK AB) akan ditentukan berdasarkan keperluan misi dan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
- MK AB mengintegrasikan ketiga-tiga cabang ATM untuk memperkukuh pertahanan, khususnya keselamatan Pantai Timur serta kepulauan dan perairan Sabah dan Sarawak.
- Peranan MK AB meliputi penyelarasan misi antarabangsa dan operasi keselamatan dalam negara termasuk Operasi PASIR.
- Pelaksanaan konsep kebersamaan memberi fokus pada penyelenggaraan, penjimatan latihan dan operasi bagi memastikan perbelanjaan pertahanan lebih mampan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pendekatan itu mengambil kira keperluan mengintegrasikan keupayaan ketiga-tiga cabang ATM bagi memperkukuh pertahanan negara, khususnya dalam memastikan keselamatan kawasan Pantai Timur serta kepulauan dan perairan Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, peranan MK AB bukan sahaja melibatkan penyelarasan misi antarabangsa, malah turut merangkumi operasi keselamatan dalam negara, termasuk Operasi PASIR.
“Seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, misi antarabangsa negara dilaksanakan di bawah Angkatan Bersama. Namun, kita juga perlu mengambil kira operasi dan misi dalam negara, seperti Operasi PASIR.
“Melalui Angkatan Bersama, kita mengintegrasikan ketiga-tiga cabang atau domain pertahanan negara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Adly berkata, integrasi pertahanan pada masa hadapan juga berpotensi diperluas dengan mengambil kira kemunculan domain baharu, termasuk domain siber.
Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan, beliau berkata, aspek penyelenggaraan turut diberi perhatian dalam pelaksanaan konsep kebersamaan atau Jointness bagi memastikan perbelanjaan pertahanan lebih mampan.
Selain penyelenggaraan, langkah penjimatan turut meliputi aspek latihan dan operasi ATM.