8,300 permohonan Geran UYARVU MADANI dalam proses saringan

Datuk Seri R Ramanan

PUTRAJAYA, 18 November – Permohonan bagi Program Geran Keusahawanan UYARVU MADANI yang menerima kira-kira 8,300 permohonan kini dalam proses saringan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemberian geran akan dilaksanakan secara berfasa selepas proses saringan selesai pada 2 Disember.
  • Pemohon berjaya akan dihubungi manakala pemohon lain dimaklumkan secara berperingkat kerana jumlah permohonan tinggi.
  • Geran direka untuk membantu usahawan India terutama perniagaan mikro dengan tiga kategori pembiayaan: Mikro, Pertumbuhan, Tinggi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pemberian geran berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa sebaik sahaja proses saringan selesai pada 2 Disember depan.

Beliau berkata, bagi pemohon yang berjaya akan dihubungi, manakala pemohon lain akan dimaklumkan secara berperingkat berikutan jumlah permohonan yang tinggi.

“Semua program yang dilaksanakan merupakan inisiatif berimpak positif dan memberi manfaat kepada rakyat, bukannya dirangka tanpa hala tuju yang jelas. Ianya dibuktikan dengan lebih 8,000 permohonan diterima dan itu mencerminkan betapa tinggi keperluan dan permintaan rakyat terhadap program seumpama ini.

“Justeru, kita sentiasa mengambil kira keperluan rakyat dalam merangka dan melaksanakan setiap program supaya inisiatif diperkenalkan benar-benar memenuhi keperluan golongan sasar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Deepavali KESUMA hari ini .

Ramanan sebelum ini berkata Geran Uyarvu Madani direka berdasarkan keperluan sebenar usahawan India, khususnya pemilik perniagaan mikro yang menghadapi cabaran mendapatkan pembiayaan untuk berkembang.

Geran itu distrukturkan untuk memastikan bantuan kewangan sampai kepada perniagaan pada pelbagai peringkat pembangunan dan menawarkan tiga kategori pembiayaan iaitu Mikro (sehingga RM20,000), Pertumbuhan (sehingga RM35,000), dan Tinggi (sehingga RM50,000).

Terdahulu, kira-kira 100 anak yatim terdiri daripada murid sekolah rendah dan penghuni rumah kebajikan diraikan pada majlis berkenaan.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.