
KUALA LUMPUR, 16 November – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengambil langkah menyusun semula struktur kejurulatihan skuad trek kebangsaan dengan memansuhkan jawatan Pengarah Teknikal yang sebelum ini disandang John Beasley.
- PKBM akan memperkenalkan jawatan Jurulatih Berprestasi Tinggi dengan mendapatkan khidmat jurulatih dari luar negara untuk menerajui pembangunan skuad.
- Keputusan perubahan struktur disahkan sebulat suara dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif, menandakan hala tuju baharu.
- Presiden optimis pendekatan baharu mampu membawa pembaharuan dan mengharapkan jurulatih ternama, dinamik dan bertenaga.
- PKBM akan memaklumkan keputusan dan cadangan pelantikan kepada Majlis Sukan Negara serta pihak berkepentingan lain.
Sebagai pengganti, badan induk itu akan memperkenalkan jawatan Jurulatih Berprestasi Tinggi dengan mendapatkan khidmat tenaga kejurulatihan dari luar negara bagi menerajui pembangunan skuad berkenaan.
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, keputusan itu dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif (Exco) semalam, sekali gus menandakan perubahan hala tuju pasukan selepas hampir dua dekad di bawah bimbingan Beasley.
Beliau mengakui cabaran mendapatkan pengganti yang setanding dengan kepakaran jurulatih kelahiran Australia itu, namun optimis pendekatan baharu mampu membawa pembaharuan kepada prestasi skuad negara.
“Saya berharap keputusan ini dapat memberikan sinar baharu kepada skuad berbasikal trek Malaysia.
“Kita perlu memandang ke hadapan dan jurulatih baharu itu mestilah seorang yang ternama serta mampu membawa pasukan ke tahap lebih dinamik dan bertenaga,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan keputusan berkenaan, PKBM akan memaklumkan pemansuhan jawatan Pengarah Teknikal dan cadangan pelantikan jurulatih baharu kepada Majlis Sukan Negara (MSN) serta pihak berkepentingan lain.
Dalam pada itu, Datuk Amarjit merakamkan penghargaan terhadap sumbangan Beasley yang banyak membantu pembangunan sukan berbasikal trek negara.
“Beasley mula membimbing skuad trek negara pada Januari 2006 sebelum menamatkan perkhidmatan pada 31 Oktober lalu selepas menyerahkan surat peletakan jawatan pada 1 Ogos dengan notis tiga bulan.
“Beliau akan meneruskan kerjaya kejurulatihan di Jepun,” jelasnya.
Datuk Amarjit turut menyuarakan keyakinan bahawa Malaysia mampu terus melahirkan pelumba bertaraf dunia seperti Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Mohd Rizal Tisin, Fatehah Mustafa, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.