RTM ungguli Anugerah Media PERKESO i-LINDUNG 2026, raih dua anugerah utama

Nur Farah Huda Sahiran (kanan) dan Paranthaman Nadarajan (kiri) membawa pulang wang tunai serta trofi selepas masing-masing muncul juara pada Anugerah Media PERKESO i-LINDUNG 2026

KUALA LUMPUR, 12 November – Radio Televisyen Malaysia (RTM) mencipta kejayaan apabila muncul juara dalam kategori utama Laporan TV dan Video Terbaik serta Laporan Radio dan Podcast Terbaik pada Anugerah Media PERKESO i-LINDUNG 2026 pada malam Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nur Farah Huda Sahiran menang Laporan TV dan Video Terbaik; membawa pulang RM5,000 dan trofi.
  • Paranthaman Nadarajan menang Laporan Radio dan Podcast Terbaik melalui dokumentari Pilihan Perlindungan; juga terima RM5,000 dan trofi.
  • Anugerah disampaikan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan kepada 16 penerima daripada lima kategori.
  • Tiga keluarga wartawan Tamil disantuni, termasuk waris mendiang Dr Rajan Boopalan dan Yogeswaran Alagan, menerima faedah perlindungan.

Nur Farah Huda Sahiran dari RTM Melaka merangkul tempat pertama kategori Laporan TV dan Video Terbaik menerusi karya bertajuk Kemalangan Luar Waktu Kerja: Perlindungan Sosial Jadi Penyelamat Pendapatan.

Beliau berkata, setiap hasil liputan perlu dihasilkan dengan penuh keikhlasan serta memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengira platform penyampaian.

“Saya percaya, setiap liputan perlu ikhlas dan memberi manfaat tidak kiralah kepada penonton, pembaca atau pendengar. Kejayaan saya ini juga atas sokongan keluarga dan kakitangan Melaka fm yang sentiasa memberi ruang untuk berkarya tanpa batas,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM5,000 dan trofi.

Sementara itu, Paranthaman Nadarajan dari Seksyen Penyelarasan dan Penjadualan Radio (SPPR), turut mengungguli kategori Laporan Radio dan Podcast Terbaik menerusi dokumentari Pilihan Perlindungan, Sandaran Ketika Musibah.

Beliau turut menerima wang tunai RM5,000 serta trofi atas kejayaan berkenaan.

Paranthaman menyifatkan kemenangan itu sebagai pengiktirafan yang turut dikongsi bersama seluruh warga penerbit Radio RTM.

“Saya amat gembira dan bersyukur atas kemenangan ini. Pengiktirafan ini saya kongsikan bersama seluruh warga penerbit Radio RTM.

“Buat ibu tersayang, keluarga dan semua yang sentiasa mendoakan kejayaan saya, terima kasih atas doa, kasih sayang dan sokongan yang tidak pernah putus.

“Kemenangan ini saya dedikasikan sebagai hadiah Deepavali yang penuh bermakna buat RTM,” katanya.

Anugerah berkenaan disampaikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, yang turut menyampaikan Anugerah Media PERKESO i-LINDUNG 2026 kepada 16 penerima daripada lima kategori dipertandingkan, termasuk satu anugerah khas.

Penganjuran anugerah itu dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Pada majlis sama, tiga keluarga pengamal media Tamil turut disantuni sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan dedikasi mereka sepanjang berkhidmat dalam industri media.

Antara penerima ialah waris bekas Editor Kanan Makkal Osai, mendiang Dr Rajan Boopalan atau B.R. Rajan, yang menabur bakti lebih lima dekad dalam dunia kewartawanan sebelum meninggal dunia pada 25 Oktober lalu.

Turut disantuni ialah keluarga mendiang Yogeswaran Alagan, kakitangan akhbar sama yang meninggal dunia di tempat kerja pada Jun lalu.

Waris mendiang menerima manfaat perlindungan merangkumi Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.

Sementara itu, bekas Pengurus Sumber Manusia akhbar berkenaan, Indrathavi Kalamelu yang kini terlantar uzur selepas kira-kira 40 tahun mencarum, turut dibantu menerusi bayaran bulanan Faedah Pencen Ilat serta Elaun Layanan Sentiasa.

Penganjuran Anugerah Media PERKESO i-LINDUNG 2026 mencerminkan penghargaan terhadap komitmen, kreativiti dan profesionalisme pengamal media dalam menyampaikan maklumat serta meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan perlindungan sosial.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.