Konflik hidupan liar: NRES semak SOP BKHT pada Januari 2027

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh / Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR,11 November – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) pada Januari 2027 bagi mempercepat proses kelulusan permohonan mangsa konflik manusia dan hidupan liar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan BKHT dinaikkan kepada RM1.8 juta berbanding RM1.2 juta tahun sebelumnya.
  • BKHT diberikan sebagai bantuan sekali beri untuk pekebun kecil dan penduduk kampung, bukan pampasan penuh.
  • Sehingga September 2026, 740 pemohon menerima jumlah RM3.6 juta yang disalurkan melalui pindahan dana elektronik.
  • RUU Perubahan Iklim dijangka dibentang selepas sesi libat urus akhir bersama Sabah dan Sarawak untuk sokong Dasar Pasaran Karbon.

Timbalan Menterinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, langkah itu bertujuan memendekkan tempoh memproses permohonan sedia ada iaitu antara 44 hingga 72 hari.

Tambah beliau, peruntukan BKHT menerusi Belanjawan 2027 ditingkatkan kepada RM1.8 juta berbanding RM1.2 juta pada tahun sebelumnya.

“Namun, perlu ditegaskan bahawa BKHT merupakan bantuan kewangan secara sekali beri bagi meringankan beban kumpulan sasar seperti pekebun kecil dan penduduk kampung, dan bukannya berbentuk pampasan atau ganti rugi penuh.

“Sehingga September 2026, seramai 740 pemohon telah menerima manfaat ini dengan jumlah keseluruhan RM3.6 juta yang disalurkan melalui pindahan dana elektronik (EFT),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini selepas dibahaskan 24 ahli parlimen dari kerajaan dan pembangkang.

Dalam perkembangan lain, Syed Ibrahim memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara dijangka akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Menurutnya, NRES kini dalam fasa akhir melaksanakan sesi libat urus bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi mencapai konsensus bersama sebelum RUU tersebut dibawa ke Dewan Rakyat.

“Kerangka perundangan ini amat kritikal. Tanpanya, negara tidak mempunyai tata kelola yang kukuh untuk menguruskan impak perubahan iklim serta menyokong pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon Negara yang bermula tahun hadapan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai kesiapsiagaan menghadapi fenomena El Niño, kerajaan melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) terus memperkukuh Sistem Amaran Awal yang beroperasi secara berterusan.

Bagi menyokong usaha tersebut, sejumlah RM56.48 juta telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) merangkumi enam projek pemodenan infrastruktur cuaca, termasuk naik taraf 18 radar cuaca di seluruh negara.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan (B23 dan P23) bagi NRES yang berjumlah lebih RM1.59 bilion melalui undian suara majoriti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.