Jangan panik keluarkan semua wang simpanan dari bank – NACSA

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 November – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik sehingga mengeluarkan kesemua wang simpanan daripada bank susulan mesej tular yang menggesa orang ramai menyimpan wang tunai sebagai persediaan menghadapi ancaman siber.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saranan simpan sedikit wang tunai hanya langkah persediaan jika sistem pembayaran elektronik premis perniagaan terganggu.
  • Sistem pembayaran dalam talian di premis bukan NCII mungkin mempunyai kawalan keselamatan siber kurang berbanding bank.
  • Wang tunai boleh digunakan sebagai kaedah pembayaran alternatif sekiranya transaksi elektronik tidak dapat dilakukan.
  • Mengeluarkan semua simpanan untuk disimpan di rumah lebih berisiko kerana bank menawarkan insurans dan jaminan keselamatan.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, saranan menyimpan sedikit wang tunai hanyalah sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku gangguan terhadap sistem pembayaran elektronik di premis perniagaan, khususnya kedai-kedai kecil.

Menurutnya, sistem pembayaran dalam talian di premis perniagaan yang bukan dikategorikan sebagai Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) mungkin tidak mempunyai tahap kawalan keselamatan siber setanding sektor perbankan.

Beliau berkata, wang tunai boleh digunakan sebagai kaedah pembayaran alternatif sekiranya berlaku gangguan terhadap transaksi elektronik di premis berkenaan.

“Disebabkan sistem pembayaran secara dalam talian di peringkat kedai dan sebagainya yang bukan entiti di bawah kategori Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII), yang mungkin kawalan keselamatan sibernya tidak cukup bagus sebagaimana di bank.

“Sebab itulah nasihat-nasihat tersebut diberikan supaya sekiranya transaksi di kedai tidak boleh dilakukan secara dalam talian, pembayaran boleh dibuat secara tunai. Itulah sebenarnya hasratnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif di Angkasapuri, di sini.

Dr. Megat turut mengingatkan orang ramai bahawa tindakan mengeluarkan semua wang simpanan untuk disimpan di rumah sebenarnya lebih berisiko berbanding menyimpannya di bank.

Katanya, institusi perbankan mempunyai mekanisme perlindungan, termasuk insurans dan jaminan keselamatan terhadap simpanan pelanggan.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan sektor perbankan dan kewangan merupakan antara sektor yang mempunyai tahap kawalan keselamatan siber paling tinggi dan ketat.

Ini kerana sektor berkenaan mengendalikan transaksi kewangan dalam talian yang memerlukan perlindungan keselamatan menyeluruh.

“Sebab mereka daripada awal mengetahui bahawa perlunya perlindungan. Sebab apabila perbankan dalam talian dan sebagainya menjadi medium untuk kita melaksanakan transaksi kewangan, itulah tempat yang paling sensitif,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.