Najib tiba di kediaman Langgak Duta jalani tahanan rumah

Datuk Seri Najib tiba di kediaman di Langgak Duta menaiki kenderaan jenis SUV diiringi kenderaan polis dan penjara/ RTM 

KUALA LUMPUR, 10 November- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di kediamannya di Langgak Duta di sini pada 9.27 malam ini bagi menjalani baki hukuman penjara membabitkan kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah keluarkan perintah baharu membolehkan beliau menjalani baki hukuman di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
  • Perintah itu membatalkan perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
  • AGC menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah untuk mendapat penjelasan tentang tafsiran pengampunan bersyarat dan penyiapan dokumen rasmi.

Ketibaan beliau menyusuli perintah baharu yang dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin hari ini, membolehkan Datuk Seri Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah berkuat kuasa serta-merta sehingga 23 Ogos 2028.

Perintah itu turut membatalkan perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu.

Terdahulu, peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan anak guamnya dibawa kembali ke Penjara Kajang bagi membolehkan syarat tahanan rumah dibaca dan dijelaskan kepadanya.

Datuk Seri Najib tiba di kediaman itu menaiki kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) dengan diiringi kenderaan polis dan penjara.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran perintah pengampunan bersyarat yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

AGC turut menegaskan penelitian sewajarnya perlu dilakukan ketika menyediakan dokumen rasmi bagi mengelakkan pertikaian, khususnya berkaitan penggunaan istilah perundangan.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib selepas beliau didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Datuk Seri Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 sebelum mengemukakan petisyen pengampunan pada 2 September tahun sama.

Pada 18 September, beliau menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang membolehkannya menjalani baki hukuman di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.